Ribut salji dahsyat lumpuhkan AS

WASHINGTON - Penduduk di sebahagian Amerika Syarikat (AS) kini berhadapan situasi berbahaya apabila gelombang sejuk melampau akibat ribut musim sejuk berskala besar menjejaskan jutaan kehidupan.
Fenomena cuaca ekstrem itu dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 50 kematian setakat Rabu, sementara ratusan ribu rumah dan premis perniagaan masih terputus bekalan elektrik dan sistem pengangkutan udara negara itu lumpuh.
Dari kawasan Selatan yang jarang berdepan cuaca beku hingga ke Timur Laut yang diselaputi salji tebal, negara itu kini bergelut dengan kesan ribut yang disifatkan antara paling teruk dalam beberapa dekad.
Keadaan dijangka bertambah buruk hujung minggu ini apabila satu lagi letusan udara Artik diramalkan melanda, sekali gus menjejaskan lebih 100 juta penduduk dengan suhu terendah mencatat rekod baharu, ketika bandar-bandar masih berusaha membersihkan timbunan salji dan ais.

Menurut gabungan laporan kerajaan negeri dan media tempatan, ribut tersebut dikaitkan dengan lebih puluhan kematian akibat hipotermia serta kemalangan berkaitan trafik, aktiviti luncur salji, kenderaan lasak dan operasi jentera pembersihan salji.
Di Texas, tiga adik-beradik berusia antara enam hingga sembilan tahun maut selepas terjatuh ke dalam kolam beku berhampiran Dallas.
Di New York, Datuk Bandar Zohran Mamdani memaklumkan sekurang-kurangnya 10 individu ditemui meninggal dunia di luar rumah dalam keadaan suhu melampau dengan punca kematian masih disiasat.
Tragedi turut melibatkan sektor penerbangan apabila tujuh individu terbunuh selepas sebuah pesawat kecil terhempas ketika cubaan berlepas dalam ribut salji di Bangor, Maine.

Salji tebal dan bekalan elektrik terputus
Ribut itu membawa salji setinggi 79 sentimeter di Bonito Falls, New Mexico, manakala East Napanoch di New York mencatat hampir 76 sentimeter, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).
Di Boston, penduduk terpaksa menggali keluar kenderaan dan laluan selepas bandar itu diselaputi lebih 58 sentimeter salji.
Negeri-negeri di Selatan seperti Mississippi, Tennessee, Louisiana dan Texas antara paling terjejas apabila ais tebal meruntuhkan tiang talian elektrik serta pokok, menyebabkan hampir setengah juta rumah dan premis perniagaan masih terputus bekalan elektrik.
Kekacauan turut melanda sektor penerbangan apabila lebih 24,500 penerbangan domestik AS dibatalkan dalam tempoh empat hari, satu angka yang disifatkan mengejutkan.

Ancaman belum berakhir
NWS memberi amaran bahawa sebahagian besar wilayah utara negara itu akan kekal di bawah takat beku hingga 1 Februari, dengan suhu paling sejuk dalam beberapa tahun dijangka berlaku.
Malah, kawasan selatan sejauh Florida turut diminta bersiap sedia menghadapi pembekuan keras.
Pada masa sama, satu lagi ribut berpotensi besar mungkin bergerak dari Kanada menyusuri Pantai Timur, walaupun laluannya masih belum dapat dipastikan.
Dalam pada itu, para pegawai kesihatan memberi amaran agar penduduk tidak menggunakan dapur gas untuk memanaskan rumah kerana risiko keracunan karbon monoksida, yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya seorang individu di Louisiana.
Sekolah-sekolah di beberapa negeri, termasuk North Carolina, ditutup sementara.- AFP

Ringkasan AI
- Gelombang sejuk melampau akibat ribut musim sejuk berskala besar menjejaskan jutaan kehidupan di Amerika Syarikat
- Fenomena cuaca ekstrem ini dikaitkan dengan sekurang-kurangnya 50 kematian dan ribuan rumah terputus bekalan elektrik
- Ribut tersebut menyebabkan kesan buruk di banyak kawasan dari Selatan hingga ke Timur Laut AS
- Keadaan dijangka bertambah buruk dengan ramalan letusan udara Artik yang akan menjejaskan lebih 100 juta penduduk
- Lebih 24,500 penerbangan domestik AS dibatalkan akibat ribut, menunjukkan keparahan kekacauan di sektor penerbangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

