Jumlah kematian akibat ribut musim sejuk ekstrem di AS meningkat

NEW YORK - Ribut musim sejuk ekstrem yang melanda sebahagian besar Amerika Utara menyebabkan sekurang-kurangnya 11 kematian, menurut laporan media pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Memetik pihak berkuasa tempatan, USA Today melaporkan sekurang-kurangnya 13 kematian di lima negeri di Amerika Syarikat (AS), manakala penyiar CNN melaporkan sekurang-kurangnya 11 kematian.
Perbezaan jumlah kematian dalam media bergantung pada sejauh mana kematian itu dikaitkan dengan keadaan cuaca.
Datuk Bandar New York, Zohran Mamdani berkata, lima orang yang ditemukan mati di luar rumah sepanjang hujung minggu disyaki akibat membeku sehingga mati, namun punca rasmi kematian masih belum ditentukan.
Kematian akibat hipotermia juga dianggap kemungkinan berlaku dalam kes tiga orang di negeri Kansas, Michigan dan Texas, menurut pihak berkuasa.
Pada Ahad, dua orang dilaporkan meninggal akibat hipotermia di Caddo Parish, Louisiana.
Terdapat juga kematian berkaitan nahas jalan raya serius akibat keadaan berais, termasuk sekurang-kurangnya dua orang di negeri selatan, Tennessee dan Texas.
Di Tennessee, pihak berkuasa melaporkan jumlah tiga kematian berkaitan cuaca, walaupun tidak jelas berapa ramai daripadanya berpunca akibat nahas jalan raya.
USA Today menyenaraikan seorang remaja berusia 17 tahun di Arkansas antara mangsa ribut musim sejuk. Remaja itu yang berada di atas andur salji yang ditarik oleh kenderaan serba rupa bumi dan melanggar pokok, menyebabkan kematiannya di tempat kejadian.- Bernama-dpa
Ringkasan AI
- Ribut musim sejuk ekstrem di Amerika Utara menyebabkan sekurang-kurangnya 11 kematian
- Perbezaan dalam jumlah kematian dilaporkan oleh media bergantung pada kaitan dengan cuaca
- Datuk Bandar New York menyebut lima orang mati disyaki akibat membeku
- Kematian akibat hipotermia dianggap berlaku di negeri Kansas, Michigan dan Texas
- Nahas jalan raya yang berkaitan dengan keadaan berais menyebabkan kematian di beberapa negeri termasuk Tennessee dan Texas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
