Ribut salji raksasa 'mengganas' di AS

NWS meramalkan keadaan di bawah paras beku itu dijangka berterusan di bahagian utara sehingga Ahad ini.
NWS meramalkan keadaan di bawah paras beku itu dijangka berterusan di bahagian utara sehingga Ahad ini.
A
A
A

NEW YORK - Lebih setengah juta penduduk Amerika Syarikat (AS) terputus bekalan elektrik pada Selasa selepas suhu sejuk luar biasa bawaan ribut salji raksasa melanda sebahagian besar negara itu sejak minggu lalu.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS) meramalkan keadaan di bawah paras beku itu dijangka berterusan di bahagian utara sehingga Ahad ini.

Selain itu, suhu paling rendah pernah direkodkan pula diramalkan menyelubungi negeri di bahagian selatan yang tidak biasa berdepan cuaca musim sejuk.

Salji pula terus melanda di kawasan timur laut AS yang menyaksikan beberapa bahagian Connecticut dibadai salji setebal lebih 56 sentimeter (cm) manakala lebih 40.6cm direkodkan di Boston, Massachusetts.

Ribut salji 'mengganas' itu turut menyebabkan sekurang-kurangya 30 kematian termasuk berpunca daripada hipotermia dan kemalangan jalan raya.

Talian utiliti diselaputi ais di Nashville, Tennessee.
Talian utiliti diselaputi ais di Nashville, Tennessee.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mengesahkan tujuh terbunuh selepas sebuah pesawat kecil terhempas ketika berlepas dalam ribut salji di Bangor, Maine.

Lebih 9,000 jadual penerbangan juga terjejas setelah cuaca buruk itu turut melumpuhkan rangkaian pengangkutan di seluruh negara.

Artikel Berkaitan:

"Kami tidak tahu sampai bila akan terkandas kerana sudah berada di sini sejak Ahad lalu," ujar Alan Vazquez yang terperangkap di Lapangan Terbang Dallas-Fort Worth di Texas.

Ahli meteorologi NWS, Allison Santorelli berkata, usaha pemulihan berdepan kesukaran kerana banyak negeri terjejas.

"Negeri utara yang mempunyai bekalan musim sejuk tidak dapat berkongsi sumber mereka dengan negeri selatan yang kurang membuat persediaan untuk menghadapi cuaca ekstrem tersebut," jelasnya.

Kenderaan di ruang parkir Brooklyn, New York diselubungi salji tebal.
Kenderaan di ruang parkir Brooklyn, New York diselubungi salji tebal.

Darurat cuaca

Pada Sabtu lalu, Presiden Donald Trump menyifatkan ribut salji itu sebagai 'luar biasa dalam sejarah'.

Susulan itu, beliau meluluskan pengisytiharan bencana kecemasan persekutuan di negeri Carolina Selatan, Virginia, Tennessee, ​Georgia, Carolina Utara, Maryland, Arkansas, Kentucky, Louisiana, Mississippi, Indiana dan Virginia Barat.

"Kami akan terus memantau keadaan semasa dan berhubung dengan semua negeri yang berada di laluan ribut ini. Kekal selamat dan pastikan diri sentiasa hangat,” tulis Trump menerusi hantaran di platform Truth Social.

Difahamkan, lebih 20 negeri telah mengisytiharkan darurat cuaca.

Orang ramai membersihkan timbunan salji di kawasan kejiranan di Winthrop, Massachusetts.
Orang ramai membersihkan timbunan salji di kawasan kejiranan di Winthrop, Massachusetts.

Sistem ribut tersebut berpunca daripada pusaran kutub yang meregang iaitu kawasan di Artik yang mengandungi udara sejuk bertekanan rendah dan lazimnya membentuk sistem yang padat serta berbentuk bulat.

Namun, dalam keadaan tertentu, pusaran itu boleh berubah menjadi lebih bujur, sekali gus membolehkan udara sejuk mengalir deras merentasi Amerika Utara.

Para saintis menyatakan bahawa peningkatan kekerapan gangguan sedemikian mungkin berkaitan dengan perubahan iklim, tetapi perbahasan mengenai perkara itu masih belum muktamad dan faktor variasi semula jadi turut memainkan peranan. - Agensi

Ringkasan AI

  • Lebih setengah juta penduduk AS terputus bekalan elektrik akibat ribut salji
  • Suhu sejuk luar biasa dijangka berterusan di bahagian utara AS sehingga Ahad
  • Suhu paling rendah pernah direkodkan dijangka di negeri selatan AS
  • Ribut salji menyebabkan sekurang-kurangnya 30 kematian
  • Lebih 9,000 jadual penerbangan terjejas akibat cuaca buruk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!