Dana PRU13 disalah tafsir, tiada duit negeri disalur kepada Pas - Izham

Izham (kiri) menerusi satu siaran langsung di platform TikTok yang tular sebelum ini.
Izham (kiri) menerusi satu siaran langsung di platform TikTok yang tular sebelum ini.
A
A
A

SHAH ALAM – Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Datuk Ir Izham Hashim menegaskan kenyataannya berkaitan Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai dana Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) telah disalah tafsir, selain menafikan wujud sebarang penyaluran dana kerajaan negeri kepada Pas pada waktu itu.

Sebaliknya Izham berkata, beliau hanya berkongsi pengalaman mengurus kewangan sebagai Bendahari Pas Selangor pada waktu itu tanpa sebarang peruntukan daripada gabungan Pakatan Rakyat di peringkat negeri.

"Saya ceritakan perbualan dengan Allahyarham Tan Sri (Abdul Khalid) mengenai dana pilihan raya tidak menggunakan duit negeri," katanya ketika ditemui di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di sini pada Jumaat.

Izham memberitahu, perkara itu turut dijelaskan beliau menerusi satu siaran langsung di platform TikTok yang tular sebelum ini.

Mengulas lanjut, Izham berkata, Allahyarham yang ketika itu Menteri Besar Selangor memaklumkan sumbangan telah diberikan kepada Pas Pusat.

"Perkara itu sahaja yang saya nyatakan tanpa menyentuh sebarang isu lain.

"Hakikatnya memang tidak ada satu sen pun daripada negeri yang diberi. Itu sahaja yang saya sampaikan dan itu memang benar," katanya.

Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian menegaskan, semua perbelanjaan kempen Pas Selangor pada waktu itu diuruskan melalui sumbangan individu.

"Saya sendiri cari sumbangan dan kita kumpul sekitar RM300,000 hingga RM400,000 sahaja,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dana yang dikumpul itu digunakan bagi keperluan asas kempen di peringkat negeri seperti pembelian bendera, manakala calon Dewan Undangan Negeri (DUN) pula menanggung perbelanjaan masing-masing.

"Itu sahaja dana yang saya uruskan dan dengan jumlah itu, Pas menang paling besar ketika itu dengan 15 kerusi,” katanya.

Terdahulu, Bekas Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Faekah Husin dalam satu kenyataan mempertikaikan kenyataan Izham yang didakwa mengaitkan Allahyarham dengan penyaluran dana kepada Pas Pusat.

Faekah berkata, beliau terpanggil memberi penjelasan selepas klip video siaran langsung TikTok membabitkan Izham tular dan dikongsi oleh beberapa pihak termasuk pimpinan parti serta ahli keluarga.

Jerlasnya, apakah matlamat Izham mengaitkan Allahyarham Abdul Khalid dengan dakwaan kononnya terlibat menyalurkan dana kepada Pas Pusat

Tambahnya, Allahyarham dikenali sebagai seorang pemimpin yang sangat tegas dan berprinsip khususnya dalam pengurusan kewangan serta penggunaan wang rakyat.

Ringkasan AI

  • Izham Hashim menafikan wujud sebarang penyaluran dana kerajaan Selangor kepada Pas untuk PRU13
  • Izham berkata, beliau hanya berkongsi pengalaman mengurus kewangan sebagai Bendahari Pas Selangor tanpa peruntukan dari Pakatan Rakyat
  • Allahyarham Abdul Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor pada masa itu, telah memberitahu sumbangan diberikan kepada Pas Pusat
  • Semua perbelanjaan kempen Pas Selangor diurus melalui sumbangan individu dengan jumlah kumpulan RM300,000 hingga RM400,000
  • Pas Selangor menggunakan dana yang dikumpul untuk keperluan asas kempen dan menang 15 kerusi di peringkat negeri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!