Pilih TVET yakin peluang kerjaya terbuka luas

Irfaan Nabil menyertai TVET selepas tamat pengajian di sebuah sekolah tahfiz.
Irfaan Nabil menyertai TVET selepas tamat pengajian di sebuah sekolah tahfiz.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendedahan awal kerjaya TVET dari sekolah membuka minat bekas pelajar tahfiz, Irfaan Nabil Mohd Faizal, 18, melanjutkan pengajian dalam bidang kimpalan.

Menurutnya, usaha itu diteruskan hasil sokongan kedua ibu bapanya dengan mengikuti Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 di Northwestern Institute Of Advanced Technical Skills (NIATS) di Seri Manjung, Perak. 

"Dari awal lagi saya nampak TVET membuka jalan yang lebih mudah untuk dapat pekerjaan dalam bidang yang saya minat tambahan pencapaian akademik saya sederhana, jadi bidang kemahiran lebih sesuai dengan diri saya. 

"Meskipun belajar dalam bidang agama, keluarga tidak menghalang pilihan saya dan ayah memberi sokong penuh sebab dia nampak potensi TVET dan peluang dalam bidang ini,” katanya. 

Irfaan Nabil berkata, dengan galakan daripada kerajaan, orang ramai tidak lagi memandang serong terhadap pilihan kerjaya berkemahiran kerana sektor berkaitan berkembang selari dengan kemajuan industri dan teknologi. 

"Bidang dalam TVET ini sangat luas seperti kemahiran kimpalan ini, ia meliputi sektor minyak dan gas, industri jentera dan sebagainya. 

"Jadi jangan takut menceburi bidang berkemahiran tinggi ini dan jangan anggap kemahiran ini tidak berkembang kerana peluang kerja sentiasa terbuka luas, terapkan semangat untuk mencuba dan belajar," nasihatnya. 

Kisah Irfaan Nabil mencerminkan matlamat NIMP 2030 dalam melahirkan tenaga kerja mahir yang inklusif, merangkumi pelajar aliran agama dan akademik sederhana.

Laluan TVET memberi peluang kepada belia untuk membina kerjaya stabil dalam sektor strategik seperti minyak dan gas, pembuatan serta industri jentera yang terus berkembang seiring kemajuan teknologi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!