Pemuda UMNO Pahang tempelak Pemuda Pas isu hutang awam

Mohd Kamil
Mohd Kamil
A
A
A

KUANTAN – Pemuda UMNO Pahang menempelak Pemuda Pas atas dakwaan cuba mengelirukan rakyat mengenai isu hutang awam kerajaan.

Ketuanya, Mohd Kamil Ibrahim berkata, parti pembangkang itu sering memainkan persepsi, dan kini menjadikan isu hutang sebagai bahan untuk meraih simpati melalui politik murahan.

Menurutnya, hakikat sebenar ialah hutang kerajaan negeri bukan beban, sebaliknya merupakan pelaburan untuk rakyat dan masa depan negeri.

“Hendak mudah faham, hutang kerajaan negeri ini bukan macam hutang Along, bukan pinjaman suka-suka.

“Semua pinjaman dibuat mengikut undang-undang, diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan dan tujuannya jelas – untuk membiayai projek seperti Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR), bekalan air bersih, kemudahan asas luar bandar serta projek pembangunan ekonomi negeri (PKEN),” katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.

Beliau berkata demikian bagi menyangkal reaksi Pemuda Pas yang mendakwa Pahang merupakan satu-satunya negeri di Pantai Timur yang mencatatkan kenaikan hutang awam pada 31 Disember 2024 berbanding 31 Disember 2023.

Beliau memaklumkan, menurut Kementerian Kewangan, sehingga 31 Ogos lalu, jumlah pinjaman yang diluluskan untuk negeri-negeri mencecah keseluruhan RM24.15 bilion.

Katanya, setiap pinjaman tertakluk kepada kawalan ketat, kadar faedah yang adil dan berdasarkan kemampuan negeri untuk membayar balik.

Tegasnya, ini bermakna hutang tersebut dirancang dengan teliti dan menunjukkan kerajaan negeri tahu mengurus kewangan dengan bijak.

Artikel Berkaitan:

“Kalau hendak nilai kemampuan sebenar, tengok prestasi ekonomi Pahang sekarang. Tahun 2024, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Pahang capai RM68.7 bilion, dengan pertumbuhan 5.7 peratus – lebih tinggi daripada kadar nasional iaitu 5.1 peratus.

“Tiga tahun berturut-turut (2022 hingga 2024), ekonomi Pahang tumbuh lebih baik daripada purata negara dan itu bukan nasib, tetapi hasil kerja pentadbiran yang cekap dan berpandangan jauh,” katanya.

Mohd Kamil turut membuat perbandingan dengan Kelantan dan Terengganu – negeri-negeri yang ditadbir Pas selama bertahun-tahun – namun masih belum menunjukkan hala tuju jelas dalam usaha memajukan rakyat.

“Kalau ada pun bangunan besar atau projek yang masih berjalan, semuanya adalah warisan daripada usaha kerajaan Barisan Nasional dahulu.

“Sampai sekarang, negeri-negeri itu masih jauh tertinggal kerana tidak mempunyai perancangan dan kepimpinan yang tahu mengurus pembangunan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menasihati Pemuda Pas Pahang agar tidak memperlekehkan soal pengurusan kewangan negeri.

“Kalau tak faham cara kerajaan urus hutang, jangan sebarkan cerita mengarut semata-mata hendak memburukkan kerajaan dengan maklumat yang tidak tepat.

“Kita yakin bahawa hutang awam sejak dahulu bukan beban, tetapi bertujuan untuk pembangunan.

“Selagi ia diurus secara cermat, berstrategi dan berintegriti, selagi itu rakyat akan dapat manfaatnya – daripada jalan raya yang baik, bekalan air bersih, hingga kepada peluang pekerjaan baharu,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Pemuda UMNO Pahang mengecam tindakan Pemuda Pas yang cuba mengelirukan rakyat mengenai hutang awam kerajaan
  • Mohd Kamil Ibrahim menyatakan hutang kerajaan negeri adalah pelaburan untuk rakyat dan bukan beban
  • Semua pinjaman kerajaan dijalankan secara legal dan bertujuan untuk membiayai projek pembangunan ekonomi dan kemudahan asas
  • Mohd Kamil menyangkal dakwaan Pemuda Pas tentang kenaikan hutang awam Pahang, menekankan pengurusan kewangan negeri yang bijak
  • Ekonomi Pahang dipuji kerana prestasinya yang lebih baik daripada purata nasional dan disebabkan oleh pentadbiran yang cekap

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!