Koperal polis didenda RM4,000 terima suapan kes narkotik

Koperal Azizol Affendi Rusli (kiri) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menerima wang rasuah untuk tidak menahan suspek narkotik. Foto Bernama
Koperal Azizol Affendi Rusli (kiri) didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini kerana menerima wang rasuah untuk tidak menahan suspek narkotik. Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Anggota polis berpangkat Koperal didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menerima wang sebagai dorongan untuk tidak menahan seorang suspek dalam kes narkotik.

Hakim Mohd Azhar Othman menjatuhkan hukuman itu setelah Azizol Affendi Rusli, 36, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif.

Bagi tuduhan alternatif pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan boleh dipenjara selama dua bulan jika gagal dibayar, manakala bagi pertuduhan alternatif kedua dan ketiga, lelaki itu didenda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan.

Mengikut pertuduhan alternatif pertama, Azizol didakwa menerima wang RM800 daripada seorang wanita yang dipindahkan ke akaun bank milik isterinya sebagai balasan tidak menahan anak wanita terbabit yang merupakan suspek kes narkotik, di CIMB Bank Berhad, Jerteh, Besut pada 12 Disember 2023.

Bagi pertuduhan alternatif kedua dan ketiga, Azizol didakwa menerima wang masing-masing berjumlah RM200 dan RM150 yang dipindahkan ke akaun bank miliknya oleh seorang wanita sebagai balasan tidak menahan suaminya yang juga suspek kes narkotik di Bank Islam, Jerteh, Besut pada 17 Mac 2024 dan 9 April 2024.

Kesemua pertuduhan alternatif itu dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Azizol membayar denda tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee dan Pegawai Pendakwa SPRM Fatiha Abdul Shatar manakala Azizol tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Rabiatul Addawiah memohon hukuman berat dan setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh agar tidak mengulangi kesalahan terutamanya melibatkan integriti sebagai penjawat awam.

Artikel Berkaitan:

Azizol yang tidak diwakili peguam merayu hukuman dikurangkan atas faktor mempunyai latar belakang keluarga yang susah, perlu menyara anak masih bersekolah serta menanggung ibu uzur selain menghidap penyakit kencing manis dan sakit buah pinggang tahap satu.

Sebelum menjatuhkan hukuman itu, Mohd Azhar menasihatkan tertuduh supaya menjadi warganegara yang berguna kepada agama, bangsa dan negara. - Bernama

Ringkasan AI

  • Anggota polis berpangkat Koperal didenda RM4,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu kerana menerima wang rasuah untuk tidak menahan suspek narkotik
  • Azizol Affendi Rusli, 36, mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan alternatif
  • Denda RM2,000 untuk pertuduhan pertama dan RM1,000 untuk kedua dan ketiga dengan kemungkinan penjara jika gagal bayar
  • Dituduh menerima wang RM800, RM200, dan RM150 sebagai balasan tidak menahan suspek narkotik
  • Kes dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!