MDES diwujudkan kumpul bantuan peralatan perubatan: Hishammuddin

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein
A
A
A

PUTRAJAYA - Wisma Putra memulakan inisiatif baharu mewujudkan Malaysia's Diplomatic Equipment Stockpile (MDES) sebagai pusat pengumpulan bantuan peralatan perubatan diterima daripada penyumbang hari ini.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, MDES merupakan inisiatif kebajikan memberi peluang kepada semua pihak untuk menyumbang peralatan perubatan bagi kegunaan barisan hadapan (Covid-19) Wisma Putra.

"Itu termasuk daripada individu, syarikat korporat, badan bukan kerajaan (NGO), parti politik serta kerajaan.

"Bahasa mudahnya, MDES ialah tabung peralatan perubatan yang berkonsep sukarela, siapa mahu, boleh menyumbang," katanya dalam satu kenyataannya hari ini.

Terdahulu, beliau berterima kasih kepada banyak pihak yang bertugas dengan bertungkus-lumus sepanjang krisis Covid-19 melanda terutamanya para doktor, jururawat, kakitangan hospital, polis dan juga tentera.

"Mereka berjuang siang malam demi menyelamatkan nyawa serta memastikan keselamatan kita semua.

"Kedua, sebagai Menteri Luar Negeri, saya juga sangat terhutang budi kepada warga Wisma Putra terutama Taskforce Covid-19, warga Kementerian Luar Negeri di Putrajaya serta mereka yang bertugas di Perwakilan Malaysia di 106 buah negara," katanya.

Beliau mengakui bahawa tugas kesemua mereka yang terlibat adalah cukup mencabar khususnya demi memastikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara dibantu sebaiknya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ia menjadi lebih sukar apabila sebahagian mereka bertugas di negara yang lebih teruk terjejas akibat wabak terbabit berbanding negara ini.

"Saya tidak mahu, semasa mereka pergi ke merata tempat termasuk lapangan terbang serta pejabat kerajaan di sana untuk berunding, ada dalam kalangan mereka dijangkiti wabak ini.

"Saya percaya, salah satu langkah pencegahan terbaik ialah membekalkan mereka dengan sarung tangan perubatan, topeng dan sanitizer yang mencukupi," katanya.

Sehubungan itu katanya, inisiatif mewujudkan MDES itu dilihat dapat membantu membekalkan barangan tersebut kerana pihaknya tidak mahu menambah beban kerajaan atau mengambil peralatan perubatan daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diberi kepada pihak terlibat kerana barisan hadapan di negara ini seperti kakitangan hospital, Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia lebih memerlukan peralatan perubatan tersebut.

Dalam masa sama, pihaknya turut berterima kasih kepada kerajaan China sebagai pihak pertama yang menyumbang 10,000 topeng muka kepada MDES.