RM15 bilion untuk SARA dan STR, meningkat berbanding RM8 bilion pada 2022

KUALA LUMPUR – Peruntukan sebanyak RM15 bilion yang disediakan kerajaan untuk program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun ini menunjukkan peningkatan berbanding hanya RM8 bilion pada 2022.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong berkata, peningkatan peruntukan untuk STR dan SARA dari tahun ke tahun adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
Menurutnya, bantuan kewangan tersebut merupakan mekanisma yang digunakan oleh kerajaan bagi membantu rakyat dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
"Program ini juga adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk menyediakan bantuan secara bersasar.
"Untuk makluman, jumlah Rakan Niaga SARA sehingga 26 Januari 2026 telah meningkat kepada 10,447 kedai di seluruh negara berbanding 700 kedai pada 2024, dan bilangan ini akan terus bertambah dari masa ke masa.
"Ini termasuk pasar raya, kedai runcit, kedai koperasi dan pasar mini yang terletak di kawasan bandar, luar bandar dan juga pedalaman bagi memastikan lebih ramai penerima mendapat akses mudah kepada bantuan ini," katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Oscar Ling Chai Yew (Sibu) mengenai sebab proses kelulusan untuk Inisiatif Kedai MyKasih masih mengambil masa yang terlalu lama.
Tambah Chin Tong, bagi negeri Sarawak sahaja, terdapat 1,096 premis yang telah didaftarkan sebagai Rakan Niaga SARA.
"Kerajaan akan sentiasa meneliti syarat untuk menjadi Rakan Niaga SARA dari semasa ke semasa bagi memastikan kedai runcit tempatan dan peniaga kecil turut terlibat secara langsung," jelasnya.
Ringkasan AI
- Peruntukan RM15 bilion untuk Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah menunjukkan peningkatan daripada RM8 bilion pada 2022
- Peningkatan peruntukan adalah bukti komitmen kerajaan dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial
- Bantuan kewangan bertujuan membantu rakyat menangani kos sara hidup yang meningkat
- Jumlah Rakan Niaga SARA telah meningkat kepada 10,447 buah kedai di seluruh negara setakat 26 Januari 2026
- Di Sarawak sahaja, 1,096 premis telah didaftarkan sebagai Rakan Niaga SARA
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


