Kondominium mewah jadi 'port' proses dadah

KUALA LUMPUR - Suami isteri warga China ditahan selepas didapati mengendalikan makmal pemprosesan dadah di sebuah kondominium mewah di Kepong di sini pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, serbuan dilakukan kira-kira jam 9 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul selepas menerima maklumat risikan.
"Kita menahan seorang lelaki berusia 46 tahun dan isterinya berusia 39 tahun di ruang tamu unit kondominium berkenaan.
“Pemeriksaan awal menemui satu peket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki ketamin di atas meja sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan di bilik lain,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Sentul pada Rabu.
Ahmad Sukarno berkata, hasil pemeriksaan di dalam bilik unit kediaman itu membawa kepada penemuan sebuah makmal dengan pelbagai bahan kimia dan peralatan dipercayai digunakan untuk memproses, membungkus serta menyimpan dadah bagi tujuan pengedaran.
"Kita merampas ketamin seberat 1,878.9 gram, methamphetamine (380 gram), kokain (62 gram) dan serbuk methylenedioxy methamphetamine (MDMA) (7,151 gram).
"Kita turut menemui 10 botol cecair disyaki MDMA dengan anggaran berat keseluruhan 37,445 gram. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM164,496," katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati suspek lelaki berada di Malaysia sejak November lalu, manakala isterinya baharu tiba ke negara ini seminggu sebelum operasi.
"Pasangan itu dipercayai aktif dalam kegiatan pemprosesan dan pengedaran dadah sejak tiga bulan lalu dengan menyewa unit kondominium berkenaan pada harga RM4,000 hingga RM6,000 sebulan," katanya.
Menurutnya, ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki negatif dadah manakala suspek wanita positif beberapa jenis dadah termasuk amphetamine, ketamin dan methamphetamine.
"Semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Ahmad Sukarno berkata, kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti ahli sindiket lain serta sumber bekalan dadah," katanya.
Ringkasan AI
- Suami isteri warga China ditahan kerana mengendalikan makmal dadah di Kepong
- Serbuan berlangsung jam 9 malam oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik
- Ditahan di ruang tamu kondominium, dadah ketamin ditemui di atas meja
- Makmal dengan bahan kimia dan peralatan untuk proses dadah ditemukan di unit kediaman
- Rampasan dadah termasuk ketamin, methamphetamine, kokain, dan MDMA bernilai RM164,496
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
