'AUKU masih relevan, perlu dipertahan' - Norkhalid

Menurut Norkhalid (gambar kecil), pelaksanaan berterusan AUKU juga berupaya memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.
Menurut Norkhalid (gambar kecil), pelaksanaan berterusan AUKU juga berupaya memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.
A
A
A

TANJUNG MALIM – Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) disifatkan masih relevan serta wajar dipertahankan sebagai kerangka utama tadbir urus universiti awam bagi melicinkan sistem pentadbiran institusi pendidikan tinggi negara.

Pengerusi Jawatankuasa Timbalan-Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Awam, Profesor Dr Norkhalid Salimin berkata, AUKU membentuk asas kukuh dalam penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti awam di Malaysia.

Menurutnya, akta berkenaan menjamin prinsip pengurusan yang berkualiti, teratur dan mampan, sekali gus menjadi rujukan utama dalam tadbir urus universiti.

"Jawatankuasa ini dengan tegas menyatakan sokongan penuh terhadap pengekalan AUKU sebagai sumber rujukan utama dalam tadbir urus universiti. Pelaksanaan AUKU berjaya memastikan generasi mahasiswa berkembang dalam persekitaran yang kondusif, matang dan bertanggungjawab,” katanya.

"Kami juga menjamin segala pindaan adalah selaras dengan prinsip kesejahteraan pelajar dan integriti universiti sebagai institusi yang komited kepada pembangunan holistik pelajar. Kami yakin AUKU yang berterusan diperbaharui mengikut keperluan kontemporari amat penting," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu.

Norkhalid berkata, meskipun AUKU telah melalui beberapa pindaan bagi menyesuaikan dengan cabaran semasa, akta itu kekal relevan sebagai kerangka undang-undang yang seimbang dalam menjamin kebebasan akademik seiring dengan tanggungjawab sosial.

Menurut Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu lagi, pelaksanaan berterusan AUKU juga berupaya memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara.

Dalam masa sama, beliau menyatakan sokongan terhadap ketegasan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) tidak bercadang memansuhkan AUKU, sebaliknya terus melaksanakan penambahbaikan dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, setiap pindaan yang dibuat perlu selaras dengan prinsip kesejahteraan pelajar dan integriti universiti sebagai institusi yang komited kepada pembangunan holistik mahasiswa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, AUKU turut merangkumi aspek pengurusan tatatertib yang adil dan berkesan, pengurusan kewangan persatuan mahasiswa yang telus serta penglibatan pelajar dalam proses demokrasi kampus.

Ringkasan AI

  • AUKU masih relevan dan wajar dipertahankan sebagai kerangka utama tadbir urus universiti awam di Malaysia
  • Menjamin prinsip pengurusan universiti yang berkualiti, teratur dan mampan
  • Sokongan penuh terhadap AUKU untuk memastikan generasi mahasiswa berkembang dalam persekitaran kondusif
  • AUKU diperbaharui mengikut keperluan semasa untuk mengekalkan seimbang antara kebebasan akademik dan tanggungjawab sosial
  • Setiap pindaan pada AUKU harus selaras dengan prinsip kesejahteraan pelajar dan integriti universiti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!