Rahsia mampu tunai haji: Niat jelas, disiplin kewangan

SHAH ALAM – Rahsia bagi mencapai kemampuan menunaikan ibadah haji adalah disiplin, ketahanan diri dan kejelasan matlamat, selain anjakan sikap dan mentaliti masyarakat berkenaan rukun Islam kelima.
Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, ini jelas dibuktikan generasi terdahulu yang bekerja di kampung dengan menoreh getah dan hidup secara sederhana namun mampu menunaikan ibadah haji.
“Jika ibadah haji dijadikan matlamat utama, seseorang itu akan berusaha mencapainya, tetapi ia menuntut pengorbanan yang mana kita perlu menangguhkan kehendak demi keperluan,” katanya.
Mohamad Fazli adalah panelis dalam Wacana Rakyat Sinar bertajuk 'Nak Naik Haji, Tapi Tak Mahu Usaha' dihoskan oleh Ismail Adnan di Studio F Karangkraf pada Rabu.
Selain Mohamad Fazli, ahli panel lain ialah penyelidik dan pencipta kandungan, Mashitah Sedik dan pendeposit Tabung Haji, Anis Annisa Anuar.
Mohamad Fazli berkata, pendidikan kewangan dalam institusi keluarga juga memainkan peranan penting dalam membentuk budaya menyimpan.
"Kajian juga mendedahkan bahawa ramai ibu bapa jarang membincangkan soal pengurusan kewangan dengan anak-anak, sekali gus menjejaskan pembentukan sikap bertanggungjawab sejak awal.
“Ibu bapa perlu menjadi teladan yang mana sekiranya mereka berdisiplin dan berkorban untuk matlamat besar seperti haji, anak-anak akan turut terkesan," ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan perubahan paling penting yang perlu berlaku ialah anjakan sikap dan mentaliti masyarakat terhadap ibadah haji.
“Menunaikan haji bukan sekadar melengkapkan rukun Islam, tetapi mendidik nilai pengorbanan dan membentuk jati diri sebagai hamba ALLAH.
"Kesedaran ini perlu disesuaikan sejajar dengan perubahan zaman dan jadikan tahun 2026 ini membentuk keazaman baru untuk menyimpan wang," katanya.
Mohamad Fazli berkata, tekanan kos sara hidup dan kecenderungan memenuhi keperluan semasa menyebabkan matlamat jangka panjang seperti haji sering diketepikan.
"Simpanan haji ini ganjarannya tidak nampak dalam masa terdekat kerana manusia lebih cenderung memenuhi keperluan semasa berbanding perancangan masa depan.
"Berbeza dengan sistem persaraan yang diwajibkan melalui Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), simpanan haji bergantung sepenuhnya kepada kesedaran dan disiplin individu," ujarnya.
Persediaan awal kunci naik haji
Bagi Anis Annisa, 27, disiplin menyimpan wang dari kecil secara konsisten menjadi kunci kejayaan beliau berjaya melengkapkan Rukun Islam kelima di usia muda bersama tiga abang dan kakaknya, tahun lalu.
Menurutnya, kesedaran menyimpan yang dipupuk oleh kedua ibu bapanya itu berjaya membentuk pengurusan kewangan yang baik tanpa perlu menunggu mempunyai pendapatan besar.
"Cabaran utama menyimpan bukan semata-mata kewangan tetapi disiplin diri, terutama apabila terpaksa membuat pilihan antara kehendak harian dan simpanan jangka panjang.
"Saya tidak tetapkan jumlah tertentu tetapi setiap bulan tetap menyimpan walaupun RM50 dan yang paling penting ialah konsisten,” katanya.
Menurut Anis Annisa, budaya menyimpan yang diterapkan oleh kedua ibu bapanya itu dijadikan panduan dalam institusi keluarga.
"Kami empat beradik didaftarkan haji sejak kecil sesuai dengan hasrat ibu bapa agar kami dapat menunaikan haji bersama-sama.
"Konsep itu kini diteruskan oleh anak buah yang baru lahir pun terus didaftarkan, ia menjadi satu amalan keluarga,” katanya.
Mengulas persepsi haji hanya sesuai pada usia tua, Anis Annisa berkata, tanggapan itu perlu diubah kerana ramai anak muda kini berpeluang menjadi tetamu ALLAH jika mula menyimpan awal.
"Kalau bukan sekarang, bila lagi? Tahun baru ini, perlu ada azam baru.
"Walaupun sedikit tetaplah menyimpan berikutan kehendak dalam memiliki kebendaan seperti telefon bimbit boleh ditangguhkan dan usaha itu mesti seiring dengan niat,” katanya.
Bersedia dari sekarang
Mashitah berkata, asas kewangan kukuh amat penting bagi memastikan seseorang mampu menyimpan secara berterusan dan ia bergantung kepada disiplin serta pengurusan bajet individu.
"Secara umum, kita cadangkan pembahagian kewangan seperti 50 peratus untuk komitmen, 30 peratus kehendak dan 20 peratus simpanan.
"Bagi mereka yang mempunyai komitmen tinggi, pembahagian boleh menjadi 70 peratus komitmen, 20 peratus simpanan dan hanya 10 peratus kehendak,” ujarnya.
Mengulas sama ada isu kewangan berpunca daripada pendapatan atau sikap, Mashitah berkata, situasi setiap individu berbeza dan tidak boleh dinilai secara keseluruhannya.
“Ada individu yang mempunyai literasi kewangan yang baik tetapi pendapatan mereka memang tidak mencukupi kerana menanggung komitmen keluarga, golongan ini perlu mencari jalan untuk meningkatkan pendapatan.
“Ada juga yang pendapatan cukup, tetapi terlalu banyak self reward sehingga mengabaikan simpanan asas malah ada yang sudah menyimpan, namun tiada sistem menyebabkan wang simpanan dikeluarkan semula,” jelasnya.
Beliau turut mengingatkan tentang risiko mindset menangguhkan simpanan sehingga ‘cukup duit’, yang menurutnya dipengaruhi budaya semasa seperti fenomena fear of missing out (FOMO) dan you only live once (YOLO), didorong pendedahan digital serta gaya hidup konsumtif.
Bagi individu berpendapatan sederhana yang berdepan tekanan kos sara hidup, Mashitah menyarankan usaha menambah pendapatan sebagai pilihan realistik.
“Persediaan perlu dibuat sekarang, bermula dengan asas kewangan seperti dana kecemasan sebelum memikirkan simpanan jangka panjang seperti haji yang mana ada hierarki yang perlu dipatuhi dan semuanya menuntut disiplin serta tanggungjawab,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
