PAIP perkukuh sistem bekalan air Pahang secara menyeluruh

Saiful Zaini ketika program Interviu bertajuk Dua Kosong Dua Enam: Air Semakin Baik dihoskan oleh Haizir Othman yang diadakan di Studio F Karangkraf. / Foto: Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
Saiful Zaini ketika program Interviu bertajuk Dua Kosong Dua Enam: Air Semakin Baik dihoskan oleh Haizir Othman yang diadakan di Studio F Karangkraf. / Foto: Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
A
A
A

SHAH ALAM – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) terus memperkukuh sistem  bekalan air negeri dengan memberi tumpuan bukan sahaja kepada kawasan  blackspot, malah turut melibatkan pemantapan perkhidmatan secara menyeluruh. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Saiful Zaini Mohd Bokhari berkata, antara  perancangan utama ialah beberapa loji rawatan air sedia ada di seluruh negeri akan  dinaiktaraf untuk memastikan sistem bekalan air lebih mampan, khususnya di  kawasan yang sedang dan bakal mengalami pembangunan pesat. 

“Suka atau tidak, pembangunan tetap berlaku, sebagai contoh, kawasan kampung  yang dahulunya hanya mempunyai 10 rumah kini mungkin bertambah. Kita perlu  tangani keperluan air  seiring dengan perubahan semasa. 

“Tahun 2026 dijangka lebih mencabar dengan pelaksanaan pendigitalan dan  pemetaan yang lebih baik. Matlamat kita adalah untuk menyelesaikan masalah sedia  ada serta memperkukuh sistem secara berperingkat dan berfasa,” katanya kepada  Sinar Harian. 

Tambah Saiful Zaini, usaha pemantapan turut memberi penekanan kepada  penggantian paip lama serta pengurusan aset air secara lebih sistematik. 

Beliau berkata, PAIP memerlukan peruntukan kira-kira RM450 juta dalam tempoh dua  tahun untuk melaksanakan kerja-kerja penggantian paip lama di seluruh negeri secara  berperingkat. 

“Ketika ini Pahang mempunyai lebih 16,000 kilometer (km) rangkaian paip dan kira kira 25 peratus daripadanya merupakan paip lama jenis AC yang kerap bocor dan  pecah. 

“Isu bekalan air tidak boleh diselesaikan melalui satu projek sahaja kerana ia  melibatkan keseluruhan sistem, bermula dari punca air hingga ke hujung agihan,”  katanya. 

Menurutnya, perancangan berfasa akan dilaksanakan bermula tahun 2026 bagi  memastikan penyelesaian lebih holistik, termasuk pelaksanaan program townhall di  semua daerah bagi memperincikan hala tuju serta keutamaan pelan penggantian  paip. 

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Saiful Zaini berkata, bagi tahun 2026, PAIP menyasarkan  pengurangan ketara masalah paip bocor serta penurunan jumlah aduan pengguna  berkaitan gangguan bekalan air. 

“Projek penukaran paip berskala besar akan dilaksanakan tertakluk kepada kelulusan  dan peruntukan Kerajaan Persekutuan yang disasarkan selewat-lewatnya pada suku  kedua 2026. 

“Walaupun tidak semua paip usang dapat diganti dalam tempoh singkat, pendekatan  progresif selama dua hingga tiga tahun diyakini mampu memastikan sistem bekalan  air negeri lebih stabil dan berdaya tahan,” ujarnya. 

Isu bekalan air Lanchang: Dari angkat sepanduk kini penduduk berterima kasih 

Mengulas isu bekalan air di Lanchang, Pahang, Saiful Zaini berkongsi pengalaman pasukan PAIP mengendalikan masalah serius di kawasan tersebut kira-kira empat  tahun lalu sehingga mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk. 

Kerajaan Negeri Pahang sentiasa turun padang mendengar luahan rakyat dan meneliti segala gerak kerja PAIP di lapangan. / Foto: Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid
Kerajaan Negeri Pahang sentiasa turun padang mendengar luahan rakyat dan meneliti segala gerak kerja PAIP di lapangan. / Foto: Sinar Harian / Mohd Halim Abdul Wahid

Katanya, kedudukan Kampung Lanchang yang terletak di hujung sistem agihan Loji  Air Lubuk Kawah, Temerloh menyebabkan tekanan air rendah dan bekalan tidak  mencukupi bagi menampung keperluan penduduk.

“Antara langkah diambil ialah pembinaan Loji Air Karak Fasa 2 yang siap pada tahun  2024, sekali gus membantu menambah bekalan walaupun tidak menyelesaikan  masalah sepenuhnya. 

“Punca sebenar ialah keupayaan loji sedia ada. Oleh itu, PAIP memperuntukkan  RM12.8 juta bagi menaik taraf serta menukar sistem pam di Loji Air Lubuk Kawah  (Sungai Daratan), sekali gus meningkatkan kapasiti pengeluaran air melebihi 500  meter padu sejam,” katanya. 

Menurutnya, usaha berkenaan menunjukkan hasil ketara apabila masalah bekalan air di kawasan Lanchang berjaya diselesaikan, sekali gus mengembalikan keyakinan  penduduk terhadap sistem bekalan air setempat.

 “Sebelum ini penduduk pernah membuat petisyen dan mengangkat sepanduk kerana marah, namun kini mereka menyatakan rasa syukur selepas masalah bekalan air  berjaya diatasi. 

“Saya masih ingat sesi townhall ketika isu memuncak dipenuhi luahan kemarahan dan  kekecewaan. Suasana berbeza dapat dilihat dalam program Sentuhan Rakyat  Makmur bersama Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang yang berlangsung di dewan sama baru-baru ini apabila penduduk sendiri mengucapkan terima kasih,”  katanya. 

Peranan rakyat 

Mengulas lanjut beliau berkata, sangat penting untuk rakyat Pahang memainkan  peranan mereka dengan membuat aduan pada saluran yang betul sekiranya mempunyai sebarang masalah. 

"Saya amat menghargai aduan rakyat kerana ia membantu memudahkan kami untuk  menyelesaikan masalah. 

"Bagaimanapun aduan hendaklah dibuat melalui saluran rasmi, bukan hanya di media  sosial. Tidak semua masalah paip pecah di Pahang dapat diketahui tanpa maklumat  daripada rakyat.

“Saya mohon untuk salurkan segala aduan atau pertanyaan  tuan/puan di talian PULAPEL PAIP 09-5739999, yang beroperasi setiap hari bermula  jam 6 pagi hingga 12 tengah malam" katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!