Tujuh jalan di Klang ditutup mulai tengah malam ini

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KLANG - Polis akan menutup tujuh jalan di daerah Klang mulai tengah malam ini sehingga 14 April sebagai langkah proaktif membendung wabak koronavirus (Covid-19).

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, dua lokasi ditutup sepenuhnya di daerah Klang Selatan iaitu Jambatan Musaeddin Jalan Tengku Kelana dan Jambatan Raja Muda Nala.

"Bagi penduduk sekitar Teluk Pulai, Kampung Delek, Sungai Udang, Pandamaran, Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Sireh, mereka boleh menggunakan jalan alternatif Jalan Kem, Jambatan Jalan Parang dan Jambatan Kota.

"Selain itu, bagi penduduk sekitar Sri Andalas, Kampung Jawa, Teluk Menegon dan Taman Sentosa boleh menggunakan laluan Jalan Kota Raja, Jalan Dato Mohd Sidin, Jalan Bukit Raja (Jambatan Connought) dan Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) dengan melalui Jalan Batu 4," katanya dalam satu kenyataan.

Shamsul Amar berkata, bagi pengguna dari Banting, Bandar Bukit Tinggi, Klang Jaya serta Bandar Botanik pula boleh menggunakan Lebuhraya Pulau Indah, Jalan Parang (Jambatan Jalan Parang), Lebuhraya KESAS dan Jambatan Kota.

Katanya, penduduk sekitar Pulau Indah boleh menggunakan Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE).

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, lima laluan di daerah Klang Utara ditutup iaitu Kilometer 3.5 Jalan Shapadu Lama, Kilometer 3.7 Jalan Shapadu Lama ke Rantau Panjang, Jambatan Raja Nala, Jambatan Musaeddin dan Jalan Paip (Jalan Bukit Cerakah).

"Setelah mengharungi 14 hari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kita telah melihat tahap kepatuhan terhadap perintah ini masih belum memuaskan.

Artikel Berkaitan:

"Dengan mengambil kira trend jangkitan dan statistik yang dikeluarkan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) amnya dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang khasnya, kita mengambil langkah proaktif dengan membuat penutupan jalan tertentu bermula jam 12.01 tengah malam ini," katanya.

Katanya, diharap masyarakat mematuhi PKP ini dengan sepenuhnya dan bersabar dalam mengharungi kesulitan ini.