Kerajaan digesa perketat pengawasan rasuah dalam perbankan - Benevolent Malaysia

Laporan Sinar Harian berhubung Op Sky: 20 pegawai bank akan didakwa. Gambar kecil: Akram Syahmi
Laporan Sinar Harian berhubung Op Sky: 20 pegawai bank akan didakwa. Gambar kecil: Akram Syahmi
A
A
A

SHAH ALAM – Kerajaan digesa memperkasakan mekanisme pengawasan dan pemantauan dalam sistem perbankan negara bagi memastikan kes rasuah melibatkan institusi kewangan tidak berulang.

Setiausaha Agung Benevolent Malaysia, Akram Syahmi Azmi berkata, kes pendakwaan membabitkan 20 pegawai bank yang didakwa meluluskan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam perlu menjadi pengajaran keras kepada semua pihak.

Menurutnya, kegagalan institusi kewangan menekankan aspek integriti dan ketelusan dalam proses kelulusan pinjaman hanya membuka ruang kepada amalan rasuah serta mendedahkan segelintir penjawat awam kepada beban hutang di luar kemampuan.

“Integriti yang kukuh dalam sistem perbankan bukan sahaja melindungi rakyat daripada eksploitasi hutang, malah ia merupakan asas penting kepada pembangunan negara yang adil, telus dan sejahtera,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, seramai 20 pegawai bank bakal didakwa di mahkamah pada hujung September atau awal Oktober ini selepas dipercayai meluluskan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada penjawat awam.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, berkata pendakwaan akan dibuat mengikut Akta SPRM.

Menurut Akram Syahmi, proses saringan dan tapisan yang tidak dilakukan secara telus boleh membuka ruang kepada amalan rasuah, malah menyebabkan segelintir penjawat awam terjebak dengan beban hutang di luar kemampuan mereka.

Kata beliau, tindakan pihak berkuasa membawa kes tersebut ke muka pengadilan mencerminkan prinsip Rule of Law yang menjadi asas kepada negara ini.

“Pendakwaan terhadap mereka yang terlibat membuktikan bahawa tiada sesiapa pun terkecuali daripada undang-undang, sama ada individu biasa atau pegawai institusi kewangan.

Artikel Berkaitan:

“Benevolent Malaysia berharap pendakwaan ini menjadi pengajaran keras kepada semua pihak dalam sektor perbankan agar mengutamakan integriti, ketelusan dan tanggungjawab sosial.

“Institusi kewangan mesti bertindak sebagai benteng kawalan, bukannya pintu masuk kepada amalan salah guna kuasa,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan digesa memperkasakan mekanisme pengawasan dalam sistem perbankan untuk mengelak kes rasuah
  • Kes pendakwaan terhadap 20 pegawai bank yang luluskan pinjaman RM700 juta sebagai pengajaran keras
  • Kegagalan tekanan pada integriti dan ketelusan oleh institusi kewangan membuka ruang kepada rasuah
  • Pendakwaan mencerminkan prinsip Rule of Law dan tiada sesiapa terkecuali dari undang-undang
  • Benevolent Malaysia berharap ini menjadi pengajaran kepada sektor perbankan untuk utamakan integriti dan ketelusan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!