ShopeePay perkenal Money+, pelaburan serendah RM10 dengan pulangan harian

Ketua Pegawai Eksekutif ShopeePay, Alain Yee (dua dari kanan)
Ketua Pegawai Eksekutif ShopeePay, Alain Yee (dua dari kanan)
A
A
A

ShopeePay meluaskan tawaran perkhidmatan digitalnya dengan memperkenalkan Money+, ciri pelaburan baharu yang membolehkan pengguna mula melabur dan menjana pulangan harian bermula serendah RM10.

Money+ boleh diakses melalui aplikasi ShopeePay atau Shopee dan dibangunkan menerusi kerjasama iFAST Capital Sdn Bhd (iFAST Capital), serta disokong oleh dana pasaran wang patuh Syariah, Eastspring Investments Islamic E-Duit Fund yang diuruskan oleh Eastspring Investments Berhad.

Melalui ciri ini, pengguna bukan sahaja berpeluang menikmati pulangan harian, malah boleh mengakses baki pelaburan mereka serta-merta untuk pembelian atau pembayaran sama ada dalam talian atau di kedai fizikal menerusi DuitNow QR, selain mengeluarkan dana pada bila-bila masa.

Ketua Pegawai Eksekutif ShopeePay, Alain Yee berkata, ciri berkenaan diperkenalkan selepas pihaknya mendapati masih ramai rakyat Malaysia berdepan kesukaran untuk membina tabiat menabung.

“Dengan membuka akses kepada pelaburan dan memudahkan prosesnya, kami berharap dapat mengubah perspektif pengguna serta menunjukkan bahawa menabung dan menjana kekayaan sebenarnya mudah, sekali gus menggalakkan mereka memulakan perjalanan kewangan masing-masing,” ujarnya dalam kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif iFAST Malaysia, Dennis Tan berkata, kerjasama bersama ShopeePay dan Eastspring Investments merupakan langkah signifikan dalam merealisasikan misi iFAST untuk menjadikan pelaburan lebih mudah diakses oleh semua rakyat Malaysia.

Menurutnya, Money+ membolehkan baki e-dompet yang tidak digunakan dimanfaatkan secara lebih produktif melalui pelaburan yang diurus secara profesional, selain menghubungkan ekosistem e-dagang dan pembayaran dengan pasaran modal secara lancar.

“Kerjasama ini menggalakkan budaya ‘berbelanja sambil melabur’, memudahkan pembinaan kekayaan dan menyokong kestabilan kewangan jangka panjang tanpa mengira jumlah modal permulaan,” ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif Eastspring Investments Berhad, Yap Siok Hoon pula berkata, pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dalam memperkenalkan Money+ yang membolehkan akses kepada Eastspring Investments Islamic E-Duit Fund bermula serendah RM10.

Artikel Berkaitan:

Menurut beliau, ciri itu membantu mengubah baki harian pengguna menjadi tabiat pelaburan berdisiplin, sambil memastikan dana boleh digunakan apabila diperlukan.

Bersempena pelancaran Money+, pengguna yang mengekalkan baki minimum RM150 dalam akaun Money+ layak menerima bonus tambahan sehingga RM1,000, dengan potensi pulangan sehingga 6 peratus setahun yang dikreditkan ke akaun Money+ setiap hari.

Tawaran terhad itu sah dari 27 Januari 2026 hingga 27 April 2026.

Untuk maklumat lanjut mengenai Money+ dan bonus tambahan, sila layari https://shopee.com.my/m/moneyplusbonus.

ShopeePay dalam kenyataannya turut memaklumkan bahawa pulangan tidak dijamin dan adalah berdasarkan prestasi sejarah yang tidak mencerminkan prestasi masa depan. Selain itu, pelaburan berkenaan tidak dilindungi oleh Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM). Tertakluk kepada terma dan syarat.

Ringkasan AI

  • ShopeePay memperkenalkan Money+, ciri pelaburan yang membolehkan pengguna melabur dengan RM10
  • Money+ disokong oleh dana patuh Syariah dan boleh diakses melalui aplikasi ShopeePay atau Shopee
  • Pengguna dapat menikmati pulangan harian dan mengakses baki pelaburan mereka untuk pembayaran melalui DuitNow QR
  • Ciri ini bertujuan untuk menggalakkan tabiat menabung di kalangan rakyat Malaysia
  • Pelancaran Money+ menawarkan bonus tambahan dengan potensi pulangan sehingga 6 peratus setahun hingga April 2026

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!