Geng samun bersenjata menyamar pegawai Imigresen tumpas

BUKIT MERTAJAM - Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasaan susulan penahanan dua lelaki tempatan di sekitar Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, tangkapan itu dibuat susulan kejadian samun berkumpulan yang berlaku di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Tengah pada 13 Januari kira-kira jam 10.30 pagi.
Menurutnya, mangsa seorang lelaki warga Myanmar berusia 44 tahun memaklumkan enam lelaki berpakaian gelap dan memakai pelitup muka menaiki sebuah kenderaan jenis Proton X70 telah berhenti di hadapan rumahnya.
“Lima suspek kemudiannya masuk ke rumah mangsa dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai Imigresen sebelum menggeledah kediaman tersebut.
“Suspek turut mengacukan sebilah parang dan melarikan pelbagai barangan berharga termasuk barang kemas, wang tunai dan telefon bimbit dengan anggaran kerugian sekitar RM4,000,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibupejabat Polis Daerah SPT telah menjalankan serbuan di dua lokasi berasingan di Bukit Jalil dan Ampang di Kuala Lumpur.
“Hasil serbuan, seorang lelaki berusia 38 tahun ditahan di Bukit Jalil manakala seorang lelaki lagi yang berusia 32 tahun ditangkap di Ampang.
"Polis turut merampas sebuah Proton X70 berwarna putih yang dipercayai digunakan semasa kejadian selain beberapa telefon bimbit, pakaian dan aksesori yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut," ujarnya.
Tambah beliau, semakan rekod mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
"Ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine. Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
“Kedua-dua suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Butterworth pada 28 Januari ini,” katanya.
Dalam pada itu, Helmi berkata, polis masih giat mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat dan masih bebas.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Inspektor Fakhrul Aiman di talian 016-3374941 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya lagi.
Ringkasan AI
- Polis berjaya menumpaskan kumpulan samun yang menyamar sebagai pegawai agensi penguatkuasaan dengan menahan dua lelaki di Kuala Lumpur
- Samun berkumpulan berlaku di Bukit Tengah, mangsa lelaki warga Myanmar kehilangan barang berharga termasuk barang kemas dan wang tunai anggaran kerugian RM4,000
- Dua lelaki yang ditahan berusia 38 dan 32 tahun, polis merampas Proton X70 dan barang bukti lain
- Kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau dan positif dadah jenis methamphetamine
- Polis masih mengesan empat lagi suspek yang terlibat dalam kes samun ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

