Kadang-kadang bergesel tapi 'rumah kita' kuat! - Syahredzan

Syahredzan
Syahredzan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Walaupun kadangkala berlaku pergeseran dalam kalangan pemimpin, namun Kerajaan Madani tetap kuat apabila prestasi pentadbiran menyaksikan berlaku peningkatan pertumbuhan ekonomi, pengukuhan ringgit dan pengurangan kadar pengangguran, kata Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

“Kita tahulah di sebelah sana (pembangkang) banyak masalah, kita pun kadang-kadang bergesel tetapi rumah kita kuat!

“Data tidak menipu, fakta tidak mampu berbohong. Angka-angka menunjukkan bahawa negara kita di bawah Kerajaan Madani mendapat keyakinan antarabangsa dan kita mengamalkan pentadbiran yang baik,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Terdahulu, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) bangun mencelah perbahasan Syahredzan dengan meminta pandangannya mengenai tekanan dan kritikan yang dibuat pihak lawan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meskipun pentadbiran kerajaan menunjukkan prestasi membanggakan.

“Punyalah hebat Perdana Menteri kita ini kerana ekonomi naik, ringgit kukuh, pengangguran makin kurang. Ini pun ada orang adakan demonstrasi minta supaya Perdana Menteri letak jawatan.

“Dahlah suruh letak jawatan, baca pula doa laknat untuk Perdana Menteri kita ini, minta sikit pandangan daripada (Ahli Parlimen) Bangi,” ujar Mohd Sany.

Mengulas lanjut mengenai prestasi pentadbiran kerajaan, Syahredzan berkata, kadar pengangguran dalam negara pada November 2025 turun ke paras terendah dalam tempoh 11 tahun.

“Kedua, unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk suku keempat 2025 adalah 5.7 peratus dan dengan ini pertumbuhan KDNK 2025 akan mencatat kadar 4.9 peratus mengatasi unjuran rasmi sebelum ini iaitu 4 hingga 4.8 peratus.

“Ketiga, Perdana Menteri telah mengumumkan dalam dewan yang mulia ini bahawa buat pertama kalinya dalam sejarah Malaysia jumlah dagangan Malaysia melepasi RM3 trilion,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Syahredzan menjelaskan, pada tahun lalu juga ringgit menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia dan meneruskan momentum itu pada tahun ini.

Kata beliau, pada minggu lepas, ringgit mencecah paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan pada pagi ini pengukuhan itu berlanjutan apabila terus dibuka tinggi di bawah paras 4.00 berbanding dolar.

“Hari demi hari kita mendengar berita mengenai angka-angka yang begitu memberangsangkan ini dan yang membuktikan bahawa ekonomi kita berada di landasan yang betul,” tegasnya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan Madani mencatat peningkatan prestasi dengan pertumbuhan ekonomi, pengukuhan ringgit dan pengurangan kadar pengangguran
  • Data menunjukkan negara mendapat keyakinan antarabangsa dengan pentadbiran yang baik
  • Kadar pengangguran negara pada November 2025 adalah yang terendah dalam tempoh 11 tahun
  • Unjuran KDNK 2025 mencatat pertumbuhan 4.9 peratus, mengatasi unjuran rasmi sebelumnya
  • Ringgit menjadi mata wang berprestasi terbaik di Asia dan telah mencecah paras 4.00 berbanding dolar Amerika Syarikat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!