Abdul Hadi tidak dinamakan sebagai calon Pengerusi PN - Takiyuddin

KUALA LUMPUR – [KEMAS KINI] Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak dinamakan sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional.
Takiyuddin berkata, ini kerana Perlembagaan PN tiada peruntukan yang menetapkan jawatan pengerusi gabungan itu mesti dipilih dalam kalangan presiden parti anggota.
"Jadi Pas berpandangan jika di kalangan parti anggota bersetuju Pas menjadi parti yang menganggotai PN, maka sesiapa sahaja yang dicalonkan atau diusulkan oleh Pas untuk memegang jawatan berkenaan adalah layak.
“Jawatan itu tidak semestinya diberikan kepada Presiden Pas semata-mata.
"Itu yang kita faham berdasarkan kepada peruntukan dalam Perlembagaan,” katanya ketika dalam sidang media Timbalan Setiausaha Agung PN di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut di sini pada Isnin.
Sebelum ini, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi PN.
Peletakan jawatan itu disahkan sendiri bekas Perdana Menteri tersebut menerusi satu hantaran di Facebook pada Selasa yang mana peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu berkuat kuasa 1 Januari ini.
Susulan itu, timbul pelbagai spekulasi calon akan menerajui PN termasuk Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Moktar.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang mahu jawatan Pengerusi PN diberikan kepada Pas.
Ujar Takiyuddin, sebelum ini Muhyiddin pernah mempelawa Pas untuk menjadi parti peneraju gabungan tersebut.
"Semua orang tahu bahawa kita sebut Bersatu dan semua bersetuju. Sebelum ini, kita tetapkan Tan Sri Muhyiddin dulu (jadi Pengerusi PN dulu).
"Apabila berlaku perletakan jawatan maka kita tawarkan ahli parti kami. Jadi apabila dipersetujui maka kita akan kemukakan calon kita untuk Pengerusi PN.
"Oleh karena ia disahkan oleh Mesyuarat Tertinggi Pas, saya boleh sebutkan bahawa ia (pengerusi PN) bukan presiden Pas," ujarnya.
Ringkasan AI
- Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengesahkan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak dinamakan sebagai calon Pengerusi Perikatan Nasional
- Perlembagaan PN tiada peruntukan yang menetapkan jawatan pengerusi mesti dipilih daripada presiden parti anggota
- Pas berpandangan sesiapa yang diusulkan oleh Pas layak memegang jawatan pengerusi PN
- Jawatan pengerusi tidak semestinya diberikan kepada Presiden Pas
- Pernyataan diberikan dalam sidang media di Pejabat Agung Pas, Jalan Raja Laut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
