Parker label keputusan United kekalkan Maguire, Shaw sebagai ‘jenaka’

BEKAS pertahanan Manchester United, Paul Parker menyifatkan Harry Maguire dan Luke Shaw dalam skuad The Red Devils ketika ini sebagai satu ‘jenaka’ dan mendesak kelab itu melepaskan kedua-dua pemain tersebut pada musim panas ini.
Kenyataan pedas itu hadir meskipun Maguire dan Shaw disenaraikan dalam kesebelasan utama Michael Carrick ketika United melakar kemenangan bergaya menewaskan Manchester City dalam aksi derbi baru-baru ini.
Maguire khususnya, menerima banyak pujian atas prestasinya mengemudi benteng pertahanan United dalam penampilan kesebelasan utama pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris sejak November tahun lalu.
Shaw turut mempamerkan aksi rajin dan kental di posisi pertahanan kiri, berjaya mengekang Antoine Semenyo daripada memberi ancaman buat skuad kendalian Pep Guardiola.
Namun, di sebalik prestasi positif tersebut, Parker menegaskan bahawa duo yang menelan belanja perpindahan gabungan sebanyak £110 juta (RM649 juta) itu tidak sepatutnya berada dalam pasukan utama.
“Saya rasa Maguire dan Shaw adalah simbol kepada apa yang tidak kena di Man United, dan saya tidak faham bagaimana orang boleh berfikir mereka adalah penyelesaiannya.
“Mereka berdua sepatutnya sudah lama dilepaskan, tetapi mereka masih di sini sekadar memakan gaji.
“Fakta bahawa mereka masih di sini adalah satu jenaka. Adakah mereka pemain terburuk dalam pasukan? Tidak, tetapi mereka sudah terlalu lama di sini, memenuhi ruang dalam skuad dan beraksi di bawah tahap yang diharapkan daripada seorang pemain Manchester United,” katanya.
Kontrak Maguire bakal tamat pada akhir musim ini, manakala Shaw masih terikat sehingga akhir musim hadapan, namun Parker yakin kedua-duanya perlu angkat kaki dengan segera.
“Adakah mustahil untuk melepaskan mereka? Ia sememangnya satu kemungkinan bahawa mereka hanya suka menjadi sebahagian daripada Manchester United dan memperoleh pendapatan lumayan, tetapi itu menjelaskan banyak perkara tentang cita-cita mereka.
“Jika mereka mempunyai cita-cita sebenar, mereka akan berpindah ke kelab di mana mereka boleh membawa perubahan. Mereka boleh bermain di Manchester United, tetapi mereka tidak mampu membawa perubahan.
“Tiada seorang pun daripada mereka yang semakin baik. Pada usia begini, mereka perlu sedar bahawa sudah tiba masanya untuk pergi. Mereka tiada masa depan di kelab ini,” jelasnya.
Parker turut mengimbau pengalamannya sendiri apabila diberitahu tiada masa depan di Old Trafford berbanding Gary Neville, sambil menegaskan bahawa pemain perlu menerima hakikat.
“Saya rasa apabila mereka bersara suatu hari nanti, mereka akan sedar bahawa mereka melakukan kesilapan dengan kekal terlalu lama.
“Bolehkah saya menyalahkan mereka? Ya dan tidak. Mereka ditawarkan kontrak dan mereka menerimanya, itu adil, tetapi pada satu tahap anda perlu melihat cermin dan menerima hakikat bahawa anda tiada apa-apa lagi untuk ditawarkan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Paul Parker menyifatkan Harry Maguire dan Luke Shaw sebagai 'jenaka' dan mahu mereka dilepaskan oleh Manchester United
- Parker mengkritik kedua pemain walaupun mereka beraksi dalam kemenangan United menentang Manchester City
- Maguire dipuji atas prestasinya dalam pertahanan dalam perlawanan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris sejak November tahun lalu
- Shaw menunjukkan aksi kental di pertahanan kiri menentang Manchester City
- Parker berpendapat Maguire dan Shaw tidak membawa perubahan yang diharapkan dan sepatutnya meninggalkan kelab
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
