Carrick hapus pendekatan Amorim dalam derbi Manchester

MICHAEL Carrick menunjukkan taringnya sebagai pengurus sementara Manchester United selepas The Red Devils menewaskan Manchester City di Old Trafford, sekali gus meningkatkan peluangnya untuk dilantik sebagai pengurus tetap.
Keputusan taktikal mudah Carrick membolehkan pemain bintang bersinar dan mengatasi kelemahan ketara di era Ruben Amorim.
Dalam pertembungan derbi Manchester itu, City hadir ke Theatre of Dreams dengan skuad pincang apabila Pep Guardiola kehilangan Ruben Dias dan Josko Gvardiol, menjejaskan kestabilan pertahanan pelawat.
Walaupun wujud kontroversi awal, iaitu Diogo Dalot hampir dilayangkan kad merah pada minit ke-11, United tetap mempamerkan aksi berdisiplin untuk meraih kemenangan meyakinkan.
Bryan Mbeumo membuka jaringan pada minit ke-65 selepas kembali daripada kempen Piala Afrika (AFCON), sebelum Patrick Dorgu menambah derita City 11 minit kemudian hasil kesilapan pertahanan Rico Lewis.
Fernandes kembali bersinar

Keputusan Carrick mengembalikan Bruno Fernandes ke posisi semula jadi di bahagian lebih menyerang memberi impak segera.
Menurut data FotMob, pemain antarabangsa Portugal itu menjadi nadi utama pasukan apabila mencipta enam peluang keseluruhan termasuk empat peluang keemasan yang mampu memberi kelebihan kepada United.
Selain itu, Fernandes turut menyumbang satu bantuan gol penting yang disempurnakan Mbeumo.
Fernandes beraksi hampir keseluruhan perlawanan sebelum digantikan Mason Mount pada minit ke-89.
Perubahan taktikal Carrick membuktikan bahawa pendekatannya mampu memaksimumkan potensi pemain yang sebelum ini digunakan lebih ke dalam semasa era Amorim.
Kobbie Mainoo curi tumpuan

Selain itu, Carrick turut memberi kepercayaan kepada Kobbie Mainoo di tengah padang dan pemain muda berusia 20 tahun itu tidak mengecewakan.
Mainoo tampil cemerlang dengan disiplin tinggi, sentiasa berada di posisi tepat untuk menyekat ruang lawan, memotong hantaran berbahaya serta menyulitkan penguasaan bola City terutama ketika berada di zon bahaya.
Aksi berterusan pemain muda itu turut mengekang pengaliran serangan lawan dan memberikan tekanan berterusan kepada pertahanan City.
Sebelum ini, Mainoo jarang diberi peluang bermula dalam kesebelasan utama, namun persembahannya ketika menentang City menonjol sebagai salah satu tonggak terbaik United di tengah padang.
Kecekapan dan keberanian Mainoo menunjukkan potensi besar sebagai penghubung antara pertahanan dan serangan, selain memberi nafas baharu kepada corak permainan United.
Jika terus diberi peluang secara konsisten, Mainoo dijangka menjadi antara aset penting dalam projek jangka panjang pasukan di bawah kendalian Carrick.
Impak taktikal
Dua perubahan taktikal Carrick iaitu menempatkan Fernandes di posisi menyerang dan memberi lebih ruang kepada Mainoo terbukti memberi impak besar dalam derbi Manchester.
Strategi ini bukan sahaja meningkatkan intensiti dan kreativiti permainan United, malah memaksimumkan keupayaan pemain di posisi tengah yang sebelum ini kurang menonjol di bawah kendalian Amorim.
Pendekatan bijak Carrick turut menonjolkan kelemahan strategi Amorim, terutamanya dalam pengurusan pemain tengah dan corak penguasaan bola.
Keputusan taktikal ini membolehkan United mengawal permainan di bahagian tengah padang, memberi tekanan berterusan kepada City, serta mencipta lebih banyak peluang berbahaya.
Kemenangan meyakinkan ini juga berpotensi mengubah persepsi penyokong yang sebelum ini mempertikaikan keputusan kelab menamatkan khidmat Amorim.
Ia sekali gus memberi nafas baharu kepada pasukan, menunjukkan bahawa pendekatan Carrick mampu menyuntik tenaga dan arah baharu bagi United dalam baki musim ini.
Ringkasan AI
- MICHAEL Carrick menunjukkan kebolehan sebagai pengurus sementara Manchester United dengan menewaskan Manchester City
- Keputusan taktikal Carrick memperlihatkan pemain bintang bersinar dan mengatasi kelemahan era Ruben Amorim
- Bruno Fernandes kembali ke posisi menyerang dan memberikan impak besar dengan mencipta peluang serta memberikan satu bantuan gol
- Kobbie Mainoo, berusia 20 tahun, beraksi cemerlang di tengah padang, menonjol sebagai salah satu tonggak utama United
- Perubahan taktikal dengan menempatkan Fernandes di posisi menyerang dan memberikan lebih ruang kepada Mainoo memberi impak besar dalam kemenangan atas City
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

