X

Kindly register in order to view this article
!

Desak Cai Tung letak jawatan Pengerusi YPG

NOOR AZLEEN
A
A

JOHOR BAHRU - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung didesak segera melepaskan jawatan secara sukarela sebagai Pengerusi Yayasan Pasir Gudang (YPG).

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang, Noor Azleen Ambros berkata, ini kerana lantikan sebelum ini atas kapasitinya sebagai Exco Pelancongan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Johor bagi mewakili parti DAP ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) berkuasa.

"Beliau harus sedar bahawa beliau bukan lagi ahli Exco kerajaan negeri dan harus meletakkan jawatan. Kerajaan negeri juga sudah berubah dan DAP bukan lagi sebahagian daripada gabungan parti yang membentuk kerajaan negeri hari ini.

"Keengganan Cai Tung melepaskan jawatan menyebabkan YPG tidak dapat berperanan secara berkesan dalam membantu penduduk dan masyarakat Pasir Gudang yang terkesan akibat arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, melalui permohonan secara dalam talian dikendalikan YPG, lebih 8,000 permohonan diterima untuk mendapatkan bantuan barangan asas dan keperluan harian bagi keluarga yang memerlukan.

"Adalah menyedihkan apabila YPG tidak dapat menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan bantuan selain halangan apabila Lembaga Pemegang Amanah YPG masih dipengerusikan oleh beliau dan setiap keputusan masih tertakluk kepada kelulusannya.

Sehubungan itu, bekas Ahli Lembaga Pemegang Amanah YPG itu mahu Cai Tung segera melepaskan jawatan tersebut bagi membolehkan kerajaan negeri melantik pengerusi baharu bagi mewakili kerajaan negeri.

Langkah berkenaan katanya, akan memastikan YPG dapat berperanan secara aktif dan berkesan menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan terutama di Pasir Gudang.

Beliau berharap Cai Tung berjiwa besar dan meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan politik yang akhirnya mengakibatkan rakyat tidak mendapat pembelaan sewajarnya lebih-lebih lagi ketika krisis melanda negara.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus