[VIDEO] 'Ini kali pertama dan terakhir saya dapat dukung, cium Maryam Al Khawla' - Mohd Fikry Amri

ALOR GAJAH – “Ini kali pertama dan terakhir saya dapat mendukung dan mencium Maryam Al Khawla selepas dia meninggal dunia.”
Demikian luahan sayu Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim, 41, yang kehilangan bayi kedua daripada kembar tiga pada Sabtu.
Mohd Fikry berkata, bayi berusia tiga bulan itu ditahan di Hospital Melaka sejak hari pertama dilahirkan pada 24 Oktober tahun lalu susulan kelahiran pramatang serta komplikasi jantung.
“Sejurus dilahirkan, Maryam terus ditempatkan di hospital untuk pemantauan kerana dia bayi pramatang dan turut mengalami komplikasi lain iaitu masalah jantung serta jangkitan pada usus.
“Keadaan itulah yang menyebabkan Maryam Al Khawla perlu ditahan di hospital bagi pemantauan doktor sehingga ke penghujung nyawanya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, sepanjang tiga bulan bayi itu dirawat di hospital, beliau dan isterinya hanya mampu melihat keadaan Maryam Al Khawla dari jauh kerana ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).
“Prosedur melawat bayi di NICU memerlukan pemakaian lengkap termasuk peralatan perlindungan diri (PPE), pelitup muka dan sarung tangan.
“Jadi saya hanya dapat melihatnya dari jauh. Terus terang saya katakan, saya tidak pernah mendukung atau mencium dia sehinggalah hari ini.
“Hari inilah kali pertama saya berpeluang mendukung dan mencium dia dan itulah juga kali terakhir,” katanya sebak.

Menurutnya, dua lagi bayi kembar, Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa, berada dalam keadaan sihat dan tidak mengalami sebarang masalah kesihatan.
Mengulas mengenai persiapan membawa pulang ketiga-tiga anaknya, Mohd Fikry berkata, mereka telah membuat persiapan lengkap sebelum ini.
“Kami sudah membuat persiapan untuk membawa pulang ketiga-tiga anak. Semua barang kami beli tiga set.
“Pakaian, keperluan bayi dan stroller, semuanya dibeli tiga. Semuanya sudah tersedia,” katanya.
Terdahulu, jenazah Maryam Al Khawla selamat dikebumikan bersebelahan pusara abangnya, Muhammad Al Fateh Amri Mohd Fikry Amri di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi di sini sekitar jam 3.30 petang pada Sabtu.
Solat jenazah diadakan di kediaman keluarga di Taman Kelemak Utama, di sini, sekitar jam 3 petang sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Maryam Al Khawla merupakan bayi kedua daripada kembar tiga kepada Mohd Fikry dan Sabrina Hakiem Zaini, 41.
Bayi pramatang itu meninggal dunia pada jam 7.20 pagi Sabtu di Hospital Melaka selepas 90 hari bertarung nyawa.
Ringkasan AI
- Ini kali pertama dan terakhir Mejar Ir Ts Mohd Fikry Amri Abd Halim dapat mendukung dan mencium bayi keduanya, Maryam Al Khawla, setelah bayi itu meninggal dunia
- Maryam Al Khawla meninggal dunia selepas ditahan di Hospital Melaka sejak hari pertamanya dilahirkan akibat kelahiran pramatang dan komplikasi jantung
- Selama tiga bulan rawatan di hospital, kedua orang tua hanya dapat melihat bayi mereka dari jauh kerana prosedur ketat Unit Rawatan Rapi Neonatal
- Dua bayi kembar lain, Maryam Al Lubna dan Maryam Al Arwaa, dalam keadaan sihat
- Jenazah Maryam Al Khawla dikebumikan bersebelahan pusara abangnya di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

