Tak perlu keluar, sumbangan dihantar terus ke rumah

Yahya (kiri) menyerahkan bantuan keperluan asas kepada seorang penduduk di Kampung Tanjung Seri di sini semalam.
Yahya (kiri) menyerahkan bantuan keperluan asas kepada seorang penduduk di Kampung Tanjung Seri di sini semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Masjid Al-Irfan Derga mengambil inisiatif menghantar bantuan keperluan asas dari rumah ke rumah kepada penduduk terjejas ketika perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mencegah penularan koronavirus (Covid-19).

Setiausahanya, Yahya Saad berkata, bantuan berkenaan dihantar secara terus ke rumah penduduk kerana mereka tidak digalakkan untuk berkumpul di sesuatu kawasan sepanjang PKP dilaksanakan.

Menurutnya, usaha berkenaan turut diambil bagi memudahkan urusan penduduk terjejas yang tidak dapat keluar sekali gus membolehkan mereka mendapat bantuan diperlukan.

"Untuk PKP fasa kedua bermula 1 hingga 14 April, kita memperuntukkan sebanyak RM10,000 untuk menyediakan barangan keperluan asas untuk anak kariah masjid.

"Antara barangan keperluan asas diberikan, ialah beras, minyak, gula dan sardin untuk penduduk, seperti Kampung Tanjung Seri, Kampung Alor Melonhg, Kampung Chepoh dan Alor Siam," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Katanya, pihak masjid berharap bantuan sedemikian mampu membantu meringankan bebanan golongan memerlukan seperti warga emas, ibu tunggal dan lain-lain yang terkesan tanpa mengira ideologi politik.

Dalam perkembangan sama, katanya, Masjid Al-Irfan Derga meminta penduduk setempat yang terjejas tidak dapat bekerja ataupun meneruskan aktiviti harian ketika tempoh PKP memaklumkan perkara itu kepada pihaknya.

"Kita masih memiliki stok bekalan barangan keperluan tertentu yang mana jikalau ada orang yang tidak makan ketika tempoh PKP boleh menghubungi saya sendiri ataupun bendahari masjid, Othman Mansor," katanya.

Artikel Berkaitan: