Kementerian Perpaduan teliti cadangan Baba nyonya, chetti jadi ikon perpaduan

IPOH - Kementerian Perpaduan Negara akan meneliti cadangan supaya komuniti Baba Nyonya dan Chetti diangkat sebagai ikon perpaduan negara selaras usaha memperkukuh keharmonian serta integrasi antara kaum di Malaysia.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kementerian sentiasa terbuka menerima cadangan daripada pelbagai pihak berkaitan pengiktirafan tokoh atau komuniti tertentu sebagai simbol perpaduan nasional.
"Terima kasih atas cadangan itu. Kita akan teliti dan lihat bagaimana ia boleh dijadikan ikon perpaduan. Kita sebenarnya sudah mempunyai banyak ikon perpaduan.
"Contohnya seperti Pandelela Rinong di Sarawak yang menjadi ikon perpaduan nombor satu. Selain itu, di bawah Yayasan Sukarelawan Siswa, kita juga mempunyai ejen perpaduan, walaupun tidak disebut secara rasmi sebagai ikon,” katanya kepada pemberita.
Beliau selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Mock Cheque Peruntukan Program Satelit Komuniti Rakyat Madani Tahun 2026 Peringkat Ipoh di Pusat Nadi Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 di sini pada Sabtu.
Aaron berkata, kementerian turut menerima pelbagai cadangan daripada orang ramai untuk mengangkat tokoh kepimpinan negara dan individu berpengaruh sebagai ikon perpaduan.
Sebelum ini media melaporkan Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin mencadangkan agar komuniti Baba-Nyonya dan Chetti Melaka diiktiraf secara rasmi sebagai ‘Ikon Perpaduan Negara’ di Dewan Rakyat.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata Program Satelit Komuniti Rakyat Madani memberi fokus kepada pengukuhan peranan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) sebagai jentera utama Kementerian Perpaduan Negara.
"Kita menumpukan kepada KRT kerana ia adalah jentera utama kementerian. Setiap tahun, KRT menerima peruntukan RM6,000 dan kita tambah lagi melalui pelbagai program sokongan.
"Selain itu, kita juga ada Program KRT Progresif yang memberi tumpuan kepada aktiviti peningkatan pendapatan melalui kegiatan ekonomi,” katanya.
Menurut beliau, kerajaan memperuntukkan RM20 juta bagi Program KRT Progresif pada 2024 dan RM16 juta pada 2025, manakala bagi tahun ini, peruntukan awal sebanyak RM5 juta telah diberikan dan masih berada di bawah pertimbangan Kementerian Kewangan (MOF) untuk penambahan.
Aaron turut memaklumkan bahawa kementerian memohon supaya geran tahunan KRT dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 atau RM12,000, namun masih belum mendapat kelulusan.
"Walaupun begitu, kita bersyukur apabila permohonan tambahan RM20 juta untuk membolehkan KRT terlibat dalam pelbagai kegiatan ekonomi telah diluluskan.
"Ini membolehkan KRT terus diperkasakan sebagai platform perpaduan dan pembangunan komuniti," katanya.
Beliau menambah, Program Satelit Madani akan diperluaskan ke 15 lokasi di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Perak, Sarawak dan kawasan luar bandar, selain penganjuran program khas seperti Kenduri Madani bagi merapatkan hubungan masyarakat setempat.
Ringkasan AI
- Kementerian Perpaduan Negara meneliti cadangan angkat komuniti Baba Nyonya dan Chetti sebagai ikon perpaduan negara
- Datuk Aaron Ago Dagang berkata kementerian terbuka terima cadangan pengiktirafan komuniti atau tokoh sebagai simbol perpaduan
- Cadangan itu datang dari Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin untuk ijazah komuniti Baba-Nyonya dan Chetti Melaka
- Kementerian fokus pada pengukuhan peranan Kawasan Rukun Tetangga sebagai jentera utama
- Program Satelit Komuniti Rakyat Madani di perluas ke 15 lokasi di seluruh negara termasuk Pulau Pinang, Perak, dan Sarawak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

