526 ditahan kerana ingkar PKP di Johor

AYOB KHAN
AYOB KHAN
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seramai 526 individu ditahan di negeri ini kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu hingga semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, daripada tangkapan tersebut, 50 daripadanya telah didakwa di mahkamah selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

"Jumlah terbaharu adalah tangkapan harian dari jam 12 tengah hari semalam hingga 12 tengah malam tadi melibatkan 97 orang.

"Sesiapa melakukan kesalahan tidak mematuhi perintah mana-mana pegawai yang diberikan kuasa boleh disabit mengikut Seksyen 24 Akta 342 dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bagi pelaku yang melakukan kesalahan mengikut Peraturan (3) Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 boleh disabitkan dengan Peraturan 7 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 yang boleh didenda RM1,000.

Dalam masa sama, Ayob Khan turut mengharapkan kerjasama setiap lapisan masyarakat supaya sentiasa berada di rumah kerana tindakan tegas akan diambil jika ingkar.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan dan maklumat boleh menghubungi hotline polis Johor menerusi 07-2212999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel Berkaitan: