Dua kepala kambing gurun RM20,000 dirampas

MARAN - Dua kepala disyaki kambing gurun yang telah disembelih bernilai RM20,000 ditemui di sebuah rumah sembelih di sini dalam serbuan pada Khamis.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, serbuan premis terbabit dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 3 Kuantan sebelum menemui dua kepala hidupan liar yang telah dipotong disyaki kambing gurun.
Menurutnya, pemeriksaan di dalam peti ais oleh anggota PPM terbabit juga menjumpai beg plastik mengandungi kulit disyaki kambing gurun selain 13 plastik lut sinar berisi daging yang belum dikenal pasti.
"Pemilik mengaku kesemuanya adalah miliknya namun gagal menunjukkan dokumen pemilikan sah.

"Anggota PPM telah menerangkan kesalahan yang dilakukan di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716)," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Abdul Kadir berkata, kesemua rampasan termasuk unit telefon bimbit bernilai RM38,250.
Tambahnya, anggota PPM telah menyerahkan barangan disita kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Maran kira-kira jam 11.30 malam bagi tindakan lanjut.
Tambahnya, lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an terbabit merupakan pemilik rumah sembelih telah ditahan.
"Lelaki itu telah direman tujuh hari hingga 29 Januari untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Ringkasan AI
- Dua kepala kambing gurun bernilai RM20,000 ditemui di rumah sembelih dalam operasi serbuan
- Serbuan oleh Pasukan Polis Marin di Maran menemukan kepala dan kulit disyaki kambing gurun
- Pemilik gagal menunjukkan dokumen pemilikan sah bagi kepala dan kulit kambing gurun
- Barangan rampasan termasuk telefon bimbit bernilai total RM38,250
- Pemilik rumah sembelih ditahan untuk siasatan lanjut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
