Pelajar sekolah agama, pondok digalak kuasai teknologi baharu - PM

Anwar berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis. Foto Bernama
Anwar berucap pada Majlis Perjumpaan Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah di sini pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

BENTONG - Pelajar sekolah agama dan pondok digalakkan menguasai teknologi baharu yang dilihat sebagai benteng penting umat Islam di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, di samping akhlak dan adab, penguasaan ilmu baharu seperti kecerdasan buatan (AI), digital dan komputer amat diperlukan dalam mendepani perubahan dan cabaran semasa.

"Maka sebab itu antara peruntukan kita (ialah) melatih (pelajar) maahad tahfiz dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). (Pelajar) sekolah agama dan pondok didedahkan dengan teknologi baharu ini, (tetapi) tak ganggu silibus yang lama (cuma) tambah sedikit.

"Terima kenyataan, perubahan menuntut kita siap sebagai pendakwah dan pendidik yang mampu menghadapi cabaran zaman,” kata beliau berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz Negeri Pahang di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, di sini pada Khamis.

Majlis yang dihadiri lebih 300 pelajar sekolah tahfiz itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan dan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Perdana Menteri turut memuji Pahang sebagai antara negeri yang terkehadapan dalam mengangkat kedudukan maahad tahfiz dan pendidikan Islam di negara ini.

Sementara itu, beliau sekali lagi menegaskan bahawa penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah amat penting, agar rakyat dapat memahami serta menghayati Perlembagaan Persekutuan.

"Perlembagaan kita menjamin kedudukan Islam, agama Persekutuan, Bahasa Melayu bahasa rasmi selain kedudukan dan kedaulatan raja-raja Melayu serta hak keistimewaan Melayu bumiputera...ini harus diajar kepada anak-anak.

"Kalau tidak, sampai 60-70 tahun merdeka, sibuk bergaduh soal bahasa, soal hak keistimewaan. Padahal ini sudah termaktub dalam Perlembagaan dan bukan untuk dipertikai,” kata Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Anwar sebelum ini memaklumkan semua sekolah di negara ini termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah aliran Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), diwajibkan menawarkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah sebagai mata pelajaran untuk peperiksaan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). - Bernama

Ringkasan AI

  • Pelajar sekolah agama dan pondok digalakkan menguasai teknologi baharu seperti AI, digital dan komputer Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan pentingnya penguasaan ilmu baharu dalam mendepani perubahan dan cabaran zaman Majlis Ramah Mesra Bersama Pelajar Sekolah Tahfiz dihadiri lebih 300 pelajar dan beberapa menteri Perdana Menteri memuji Pahang sebagai antara negeri terkehadapan dalam pendidikan Islam Anwar menekankan kepentingan penguasaan Bahasa Melayu dan Sejarah untuk memahami Perlembagaan Persekutuan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!