Iftar 4 Gaza: Kerjasama strategik diperluas bantu rakyat Palestin menjelang Ramadan

Iftar 4 Gaza berjaya menarik minat pelbagai organisasi dalam menyumbang dan menjayakan misi kemanusiaan ke Gaza. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Iftar 4 Gaza berjaya menarik minat pelbagai organisasi dalam menyumbang dan menjayakan misi kemanusiaan ke Gaza. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
A
A
A

SHAH ALAM - Kempen Iftar 4 Gaza diperluaskan dengan kerjasama organisasi dan institusi lain sebagai rakan strategik dalam misi menghantar bantuan dua juta pek makanan kepada penduduk Gaza yang menghadapi krisis kebuluran akibat sekatan dan konflik.

Pengerusi Pertubuhan Hati Suci, Mohammad Zaidi Zainuddin berkata, usaha kemanusiaan dengan kerjasama Karangkraf itu digerakkan bagi mengelakkan kekeliruan awam terhadap kutipan derma dan memperkukuhkan keyakinan masyarakat.

Mohammad Zaidi
Mohammad Zaidi

"Kita ambil pendekatan menggunakan organisasi sebagai rakan strategik berbanding kutipan awam berikutan komitmen yang ditunjukkan dapat membantu menjelaskan naratif sebenar kepada masyarakat untuk memahami bagaimana bantuan ini disalurkan.

"Kita juga mendapat kerjasama dengan beberapa koperasi yang bersedia melakukan jualan amal selain sudah mula berhubung dengan institusi pengajian tinggi bagi mendekati golongan mahasiswa.

“Sasaran kami mudah iaitu RM1 seorang kerana bantuan makanan yang ingin diberikan dapat menghilangkan rasa lapar saudara kita di sana,” katanya pada program penyerahan cek sumbangan Iftar 4 Gaza di Dewan Karangkraf di sini pada Khamis.

Pada majlis itu, Mohammad Zaidi turut menandatangan memorandum persefahaman (MoU) dengan Madani Research Centre yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Mohd Azmi Mat Nayan dan menerima cek sumbangan berjumlah RM5,000.

Sumbangan turut diterima daripada Persatuan Peneraju Progresif sebanyak RM5,000 dan HS Spirulina RM1,000.

Artikel Berkaitan:

Mohammad Zaidi (dua dari kanan) menerima sumbangan Persatuan Peneraju Progresif yang disampaikan presidennya, Mohd Firdaus pada program penyerahan cek sumbangan Iftar 4 Gaza di Dewan Karangkraf pada Khamis. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID
Mohammad Zaidi (dua dari kanan) menerima sumbangan Persatuan Peneraju Progresif yang disampaikan presidennya, Mohd Firdaus pada program penyerahan cek sumbangan Iftar 4 Gaza di Dewan Karangkraf pada Khamis. Foto Sinar Harian - MOHD HALIM ABDUL WAHID

Hadir sama, Ketua Komunikasi Korporat dan Perhubungan Strategik Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin yang mewakili Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Tambah Mohammad Zaidi, pihaknya menyasarkan untuk menghantar bantuan awal sebanyak 100,000 pek makanan menjelang Ramadan menerusi kaedah guguran udara atau air drop.

Sementara itu, Mohd Azmi berkata, keputusan menyertai Iftar 4 Gaza dibuat selepas meneliti pendekatan dan perancangan yang dibentangkan oleh penganjurnya.

Mohd Azmi
Mohd Azmi

Menurut beliau, antara faktor utama ialah dasar Kerajaan Madani yang memberi sokongan kuat terhadap inisiatif kemanusiaan untuk Gaza, selain tuntutan agama agar umat Islam terus melakukan kebaikan.

“Saya melihat usaha ini selari dengan semangat fastabiqul khairat, walaupun terdapat banyak agensi dan program lain, kami terpanggil untuk bersama Pertubuhan Hati Suci kerana yakin gerak kerja ini telah dirancang dengan teliti.

"Keyakinan ini juga didorong oleh rangka kerja jelas melibatkan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Jordan bagi memastikan bantuan benar-benar sampai kepada rakyat Gaza," katanya.

Bagi Presiden Persatuan Peneraju Progresif, Mohd Firdaus Elias, penyertaan dalam kempen Iftar 4 Gaza didorong oleh rasa tanggungjawab sebagai umat Islam serta keinsafan terhadap penderitaan rakyat Palestin.

“Apabila melihat penderitaan saudara Islam kita di Palestin, hati jadi sebak, bayi yang baru lahir terkorban, keluarga hancur seperti yang dipaparkan laporan berita itu semua sangat menyentuh perasaan.

"Dengan adanya program seperti ini, saya sebagai wakil persatuan terpanggil untuk menyumbang walaupun sedikit, mungkin ia boleh membantu mereka yang berada di sana,” ujarnya.

Tambahnya lagi, pihaknya juga akan membantu menguar-uarkan kempen Iftar 4 Gaza kepada rangkaian ahli dan rakan strategik lain bagi menggalakkan lebih ramai tampil menyumbang mengikut kemampuan masing-masing.

Kutipan dibuka sejak 1 Rejab hingga 29 Syawal 1447H, bersamaan 22 Disember hingga 18 April 2026.

Derma kemanusiaan itu boleh disalurkan ke akaun Maybank 5624 7823 2717 (Pertubuhan Hati Suci) atau e-mel ke iftar4gaza1447h@gmail.com untuk pertanyaan lanjut.

Ringkasan AI

  • Kempen Iftar 4 Gaza bertujuan menghantar dua juta pek makanan untuk penduduk Gaza yang berhadapan krisis kebuluran
  • Pertubuhan Hati Suci berkolaborasi dengan Karangkraf dan organisasi lain untuk mengelak kekeliruan dalam pengumpulan dana
  • Sasaran derma adalah RM1 seorang untuk membantu mengurangkan kelaparan di Gaza
  • Kempen menerima sumbangan RM5,000 dari Madani Research Centre dan sumbangan lain dari Persatuan Peneraju Progresif serta HS Spirulina
  • Kutipan derma dibuka dari 1 Rejab hingga 29 Syawal 1447H dan boleh disalurkan ke akaun Maybank Pertubuhan Hati Suci

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!