'Kesihatan' syarikat senaraian awam didedahkan di MyBURSA

Penarafan CG tersebut dinilai secara bebas oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG) selaku Badan Penarafan Domestik, menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS).
Penarafan CG tersebut dinilai secara bebas oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG) selaku Badan Penarafan Domestik, menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS).
A
A
A

BURSA Malaysia Berhad mengambil langkah strategik untuk memperkukuh ketelusan pasaran apabila mula memaparkan Penarafan Tadbir Urus Korporat (CG) bagi syarikat tersenarai awam (PLC) di Pasaran Utama dan Pasaran ACE menerusi platform MyBURSA.

Inisiatif itu membolehkan pelabur mengakses penilaian tadbir urus setiap PLC secara langsung, sekali gus membantu mereka membuat keputusan pelaburan yang lebih bermaklumat serta menyeluruh, di samping meningkatkan daya tarikan syarikat Malaysia kepada pelabur tempatan dan antarabangsa.

Penarafan CG tersebut dinilai secara bebas oleh Minority Shareholders Watch Group (MSWG) selaku Badan Penarafan Domestik, menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard (ACGS).

Metodologi ini sejajar dengan Prinsip Tadbir Urus Korporat G20/OECD dan disokong oleh ASEAN Capital Markets Forum (ACMF), membolehkan perbandingan standard tadbir urus merentas pasaran berasaskan amalan terbaik antarabangsa.

Ketua Pegawai Pengawalseliaan Bursa Malaysia, Julian M Hashim berkata, ketersediaan penarafan CG di MyBURSA membolehkan pelabur menilai kualiti tadbir urus PLC bersama data penting lain, termasuk prestasi kewangan dan kemampanan.

“Ini membolehkan penilaian risiko yang lebih holistik serta analisis nilai jangka panjang yang lebih tepat. Bagi PLC pula, pendedahan penarafan CG berfungsi sebagai penanda aras untuk penambahbaikan berterusan dan meningkatkan daya saing dalam menarik modal global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, integrasi penarafan CG itu turut melengkapkan penarafan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang sedia ada di MyBURSA, sekali gus memperkukuh ekosistem maklumat pasaran modal Malaysia dengan data yang komprehensif, boleh dibandingkan dan relevan untuk keputusan pelaburan.

Penilaian MSWG dibuat berdasarkan maklumat yang didedahkan secara awam, termasuk Laporan Tahunan, Laporan Tadbir Urus Korporat, Laporan Kemampanan serta dokumen lain yang tersedia dalam domain awam.

Langkah ini dilihat sebagai satu usaha berterusan Bursa Malaysia untuk meningkatkan standard tadbir urus korporat, menggalakkan akauntabiliti syarikat tersenarai dan mengukuhkan keyakinan pelabur terhadap pasaran modal negara.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • BURSA Malaysia Berhad memperkenalkan penarafan Tadbir Urus Korporat untuk syarikat tersenarai di platform MyBURSA
  • Inisiatif ini memudahkan pelabur mendapatkan penilaian tadbir urus syarikat, meningkatkan pembuatan keputusan pelaburan yang bermaklumat
  • Penarafan CG dinilai oleh Minority Shareholders Watch Group menggunakan metodologi ASEAN Corporate Governance Scorecard
  • Metodologi ini membolehkan perbandingan standard tadbir urus secara antarabangsa
  • Penarafan CG membantu PLC menilai kualiti tadbir urus mereka, meningkatkan daya saing dan menarik modal global

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!