Harga emas global cecah paras tertinggi, lonjakan niaga hadapan emas di Bursa Malaysia

KONTRAK niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi, menjejaki peningkatan pasaran global apabila harga melonjak ke paras tertinggi baharu iaitu lebih AS$4,800 setiap auns troy.
Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata, prestasi kukuh emas itu didorong oleh ketidakpastian geopolitik dan kebimbangan terhadap fiskal.
Beliau berkata, retorik terbaharu Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengenai pengilhakan Greenland telah menimbulkan risiko politik ke dalam pasaran.
Bagaimanapun, lebih ketara ialah penjualan pasaran bon yang lebih luas, ia telah membangkitkan semula kebimbangan sebelum ini mengenai peningkatan hutang kerajaan dan kredibiliti fiskal.
"Pada satu ketika, semasa sesi dagangan Asia, emas meningkat lebih daripada AS$100. Pergerakan terhenti pada tengah hari selepas laporan bahawa bank kedua terbesar Jepun akan campur tangan untuk membeli sejumlah besar bon domestik untuk membantu menstabilkan pasaran Bon Kerajaan Jepun (JGB) buat sementara waktu.
"Tetapi gambaran lebih besar tidak berubah apabila pasaran bon berada dalam kedudukan tidak stabil dan keyakinan terhadap disiplin fiskal berkurangan, emas kekal sebagai aset dicari oleh pelabur.” katanya kepada Bernama.
Pada penutupan, kontrak bulan semerta Januari 2026 meningkat kepada AS$4,880.40 setiap auns troy daripada AS$4,741.10 setiap auns troy pada hari Selasa, Februari 2026 meningkat kepada AS$4,896.30 setiap auns troy daripada AS$4,756.50 setiap auns troy semalam dan Mac 2026 meningkat kepada AS$4,914.80 setiap auns troy daripada AS$4,774.20 setiap auns troy sebelumnya.
Kontrak April, Jun dan Ogos 2026 juga lebih tinggi, ditutup pada AS$4,932.60 setiap auns troy berbanding AS$4,792.40 setiap auns troy semalam.
Jumlah dagangan melonjak kepada 351 lot daripada 152 lot pada hari Selasa, manakala minat terbuka meningkat kepada 421 kontrak daripada 228 kontrak sebelumnya.
Emas fizikal ditetapkan pada AS$4,723.95 setiap auns troy di London Bullion Market Association pada 20 Januari, 2026. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
