52 usahawan terima Anugerah Ikon Nanyang 2025

SERAMAI 52 usahawan cemerlang yang telah memberi sumbangan signifikan terhadap pembangunan ekonomi dan sosial negara menerima Anugerah Ikon Nanyang 2025.
Dengan tema 'Mencipta Kecemerlangan, Menerajui Masa Depan', anugerah julung kali itu diadakan bagi menghargai pencapaian luar biasa dalam bidang kepimpinan perniagaan, inovasi dan kemajuan digital, tanggungjawab sosial korporat (CSR) serta kecemerlangan dan kekuatan penjenamaan.
Pengasas dan Pengerusi Nanyang Icon Holdings, Datuk Calvin Khiu berkata, penganugerahan ini juga berfungsi sebagai platform untuk mengiktiraf bakat baharu dan usahawan yang berani berinovasi serta membina perniagaan mampan.
“Kami berharap anugerah ini dapat menjadi pemangkin kepada lebih ramai usahawan tempatan untuk tampil ke hadapan, membina keyakinan diri dan mengembangkan potensi mereka di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
“Penganjuran sulung ini menyaksikan persaingan sengit dengan sebanyak 142 pencalonan diterima, namun hanya 52 individu terpilih mewakili syarikat masing-masing.
“Persaingan memang kuat, dan ini membuktikan kualiti serta potensi besar yang dimiliki oleh usahawan tempatan,” katanya ketika majlis penyampaian Anugerah Ikon Nanyang 2025 di sini pada Selasa.
Turut hadir, Presiden ASEAN Chambers of Commerce and Industry (ASEAN-CCI), Datuk Dr Sohaimi Shahadan serta Exco Kerajaan Negeri Sembilan bagi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan, J Arul Kumar.
Majlis berprestij itu dianjurkan oleh Nanyang Icon Holdings dengan kerjasama Nanyang Siang Pau selaku rakan media rasmi.
Anugerah Ikon Nanyang 2025 dibahagikan kepada beberapa kategori termasuk individu, tanggungjawab sosial korporat (CSR), inovasi jenama serta kategori tertinggi.
Public Bank Berhad menerima anugerah ‘Nanyang Legacy CSR Icon Honour’, satu pengiktirafan khas bagi menghargai komitmen jangka panjang institusi tersebut dalam pelaksanaan inisiatif CSR dan Pelan Strategik Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).
Sementara itu, anugerah ‘Personal Achievement – Outstanding Business Leader’ (Sektor Kerajaan) dianugerahkan kepada Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia (RTM), Datuk Suhaimi Sulaiman sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan, visi dan sumbangan berterusan beliau dalam industri media negara.
Anugerah ‘Nanyang Personal Excellence’ pula disampaikan kepada 10 usahawan termasuk wakil daripada Exgreat MSE Marketing (M) Sdn Bhd dan Nik Electronic Sdn Bhd.
Bagi kategori lain, anugerah ‘Nanyang Culture Icon’ dimenangi Yap Ying Jun dari Resonant Music Academy, manakala ‘Nanyang Innovation Icon’ diberikan kepada Loh Zheng Tao dari Bucket List and Vacations Sdn Bhd.
Ringkasan AI
- SERAMAI 52 usahawan cemerlang terima Anugerah Ikon Nanyang 2025 sebagai penghargaan sumbangan mereka
- Anugerah itu mengiktiraf kepimpinan perniagaan, inovasi, CSR, dan kekuatan penjenamaan
- Pengasas Nanyang Icon Holdings, Datuk Calvin Khiu menyatakan anugerah sebagai platform pengiktirafan bakat baru
- Anugerah ini bertujuan menjadi pemangkin usahawan tempatan membangunkan potensi di peringkat lebih luas
- Anugerah tersebut meliputi pelbagai kategori termasuk CSR, inovasi jenama, dan kecemerlangan peribadi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

