Anggota polis didakwa rogol remaja perempuan bawah umur

KANGAR - Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tujuh pertuduhan merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada tahun lepas dan tahun ini.
Muhammad Farhan Abdul Karim, 34, minta dibicarakan selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut kesemua pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol remaja perempuan itu yang kini berusia 15 tahun di beberapa lokasi di sini pada November 2024 serta antara Jun, Julai, September dan Oktober lepas.
Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan tersebut di dalam sebuah kenderaan Proton Waja milik pasukan Polis Diraja Malaysia berhadapan Bengkel Reka Bentuk Teknologi & Teknologi 1 sebuah sekolah menengah, di sini.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama di tandas perempuan dan tandas lelaki sekolah yang sama, serta di sebuah hotel dan rumah di Taman Hijrah di sini.
Muhammad Farhan didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan hendaklah juga dihukum dengan sebatan jika didapati bersalah.
Ana Rozana kemudiannya membenarkan Muhammad Farhan diikat jamin berjumlah RM42,000 bagi kesemua pertuduhan itu, berserta syarat tambahan tidak dibenarkan mendekati mangsa sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 20 Januari 2026 untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik.
Pendakwaan kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Natasha Azmi, manakala Muhammad Farhan diwakili Peguam Hasnor Arysha Hamdan dan Nurul Hanani Che Nor.- Bernama
Ringkasan AI
- Seorang anggota polis berpangkat koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kangar atas tujuh pertuduhan merogol remaja bawah umur
- Muhammad Farhan Abdul Karim didakwa merogol remaja berusia 15 tahun di beberapa lokasi sepanjang November 2024 hingga Oktober tahun lepas
- Dakwaan melibatkan perbuatan di dalam Proton Waja polis, tandas sekolah dan sebuah hotel serta rumah di Taman Hijrah
- Di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan, Muhammad Farhan berdepan hukuman penjara 10 hingga 30 tahun dan sebatan
- Dibenarkan ikat jamin RM42,000 dengan syarat tidak mendekati mangsa, kes ditetapkan sebutan semula 20 Januari 2026
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
