Jepun hidupkan semula loji tenaga nuklear terbesar dunia

NIIGATA - Jepun telah menghidupkan semula loji tenaga nuklear terbesar dunia Kashiwazaki‑Kariwa buat pertama kali sejak tragedi Fukushima pada 2011, lapor Channel News Asia (CNA) pada Rabu.
Menurut Tokyo Electric Power Company (TEPCO), loji yang terletak di sepanjang pesisir Laut Jepun itu dihidupkan pada jam 7.02 malam waktu tempatan.
Penyambungan semula operasi tersebut dibuat selepas mendapat kelulusan gabenor wilayah berkenaan bulan lalu.
Pada Selasa, sekumpulan penduduk terdiri daripada warga emas berhimpun dalam keadaan cuaca sejuk dan bersalji berhampiran pintu masuk loji menyuarakan bantahan terhadap operasi tersebut.

Kashiwazaki-Kariwa merupakan loji tenaga nuklear terbesar di dunia dengan kapasiti maksimum 8.2 gigawatt mempunyai tujuh reaktor dengan hanya satu berfungsi setakat ini.
Jepun yang kekurangan sumber kini berhasrat menghidupkan semula tenaga nuklear bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050 serta memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat termasuk daripada pembangunan kecerdasan buatan (AI).
TEPCO turut memaklumkan bahawa beberapa penambahbaikan keselamatan telah dilaksanakan, antaranya pembinaan benteng tsunami setinggi 15 meter dan sistem kuasa kecemasan yang ditambah baik.
Loji tersebut sebelum ini dihentikan operasinya selepas gempa bumi dan tsunami besar melanda Jepun pada 11 Mac 2011 yang menyebabkan tiga reaktor di loji nuklear Fukushima mengalami lebur teras.
Tsunami yang dicetuskan oleh gempa bumi berukuran magnitud 9 di luar pantai timur laut Jepun itu menyebabkan bencana nuklear terburuk sejak tragedi Chernobyl.
Kira-kira 100,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman akibat ancaman bahan radioaktif.
Ringkasan AI
- Jepun menghidupkan semula loji tenaga nuklear terbesar dunia Kashiwazaki-Kariwa selepas tragedi Fukushima
- Loji dihidupkan semula dengan kelulusan gabenor wilayah
- Warga emas berhimpun menyuarakan bantahan terhadap operasi loji
- Loji ini memiliki kapasiti maksimum 8.2 gigawatt dan hanya satu reaktor yang berfungsi
- Jepun berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil dan mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
