X perketat kawal selia Grok, tidak boleh hasilkan kandungan lucah lagi - Fahmi

Fahmi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat 2026 Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
Fahmi ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perhimpunan Bulanan dan Amanat 2026 Kementerian Komunikasi di Menara Komunikasi pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA -  Platform media sosial X pada Rabu mengesahkan ciri penyuntingan imej dan penjanaan video melalui chatbot kecerdasan buatan (AI) Grok melibatkan kandungan memudaratkan berunsur lucah, seksual dan sumbang telah dikawal selia dan tidak lagi boleh disalahgunakan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pengesahan itu disampaikan kepada beliau oleh wakil platform X bagi rantau Asia Pasifik dalam satu pertemuan kira-kira sejam di Menara Komunikasi di sini pada Rabu.

"Jadi, semua pengguna tidak lagi boleh melakukan penyuntingan gambar atau video untuk menghasilkan gambar atau video lucah ataupun tidak sopan seperti yang telah berlaku sebelum ini.

"Pengesahan ini dibuat (X) dan yang hadir dalam mesyuarat selain saya sendiri (ialah) Timbalan Menteri (Teo Nie Ching) dan pegawai kanan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC),” katanya kepada Bernama selepas pertemuan itu.

Fahmi berkata, penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan dimaklumkan dalam Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) pada persidangan Dewan Rakyat esok.

Beliau berkata, kerajaan amat mengalu-alukan kehadiran pihak X yang datang ke Putrajaya khusus untuk berbincang mengenai perkara berkenaan.

Selain itu, Fahmi berkata, pihak X turut menyatakan komitmen untuk bekerjasama rapat dengan Kementerian Komunikasi dan MCMC dalam inisiatif Kempen Internet Selamat, termasuk usaha memastikan platform berkenaan lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.

"Jadi di situ saya lihat di pihak pengurusan X, mereka menyatakan kesungguhan untuk pastikan platform X menjadi lebih selamat dan akan bekerjasama dengan semua pihak termasuk Kementerian Komunikasi dan juga MCMC,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, laporan semasa MCMC menunjukkan permohonan penurunan kandungan di platform X berada pada kadar 50 peratus setakat hari ini, yang disifatkan sebagai angka pertengahan.

Artikel Berkaitan:

"Jumlah itu tidak terlalu banyak kalau nak dibandingkan dengan beberapa platform lain. Tapi ia tidak bermaksud tidak ada masalah dalam platform tersebut. Jadi saya lihat ini satu perkembangan yang positif,” katanya.

Fahmi berkata, beliau turut mengarahkan pasukannya supaya mewujudkan jaringan kerjasama yang lebih erat dengan pihak X bagi memastikan persekitaran Internet lebih selamat, khususnya untuk kanak-kanak dan keluarga.

Pada 11 Januari lepas, MCMC mengarahkan sekatan sementara terhadap akses kepada AI Grok bagi pengguna di Malaysia susulan penyalahgunaan Grok berulang kali untuk menjana kandungan lucah dan kandungan seksual eksplisit.

Susulan itu, Fahmi dilaporkan berkata, MCMC sedang meneliti tindakan perundangan terhadap platform X susulan kegagalan aplikasi AI miliknya, Grok, mematuhi undang-undang Malaysia berkaitan keselamatan dalam talian. - Bernama

 

 

Ringkasan AI

  • Platform media sosial X telah mengawal selia ciri penyuntingan imej dan video AI untuk elak penyalahgunaan kandungan lucah
  • Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, menerima pengesahan ini dalam pertemuan dengan wakil platform X
  • Pengguna tidak boleh lagi menghasilkan kandungan lucah atau tidak sopan melalui chatbot AI Grok
  • Platform X berkomitmen bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi dan MCMC untuk kempen Internet Selamat
  • MCMC menunjukkan permohonan penurunan kandungan di platform X adalah pada kadar 50% setakat ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!