KPKT sasar 100,000 pembeli rumah menerusi SJKP

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 100,000 pembeli rumah menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menjelang akhir tahun ini.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, sebanyak RM16 bilion nilai jaminan SJKP masih terbuka untuk permohonan.
"SJKP diperuntukkan khusus kepada golongan B40 dan M40, termasuk mereka yang tidak mempunyai pendapatan tetap atau penyata gaji seperti pekerja gig ekonomi yang majoritinya terdiri daripada golongan muda utk membeli rumah idaman masing2,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, skim itu memberi jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 bagi pembelian rumah pertama, sama ada rumah baharu atau rumah sedia ada termasuk lelongan.
Bagi memudahcara bayaran pendahuluan, SJKP menawarkan skim SJKP Madani iaitu jaminan pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah yang dibeli.
Pada masa yang sama, beliau berkata, pembiayaan secara “Step-Up Financing” juga diperkenalkan mulai 2025 bagi mengurangkan beban kewangan golongan belia dalam pembelian rumah pertama mereka di peringkat awal.
"Melalui mekanisme ini, ansuran bulanan adalah lebih rendah bagi 3 hingga 5 tahun pertama dan hanya akan meningkat secara berperingkat mengikut jadual yang telah dipersetujui," kata beliau.
Tambah Kor Ming, beliau akan mengadakan sesi libat urus dengan Bank Negara Malaysia dalam masa terdekat bagi menggalakkan penglibatan semua institusi perbankan dalam pelaksanaan skim tersebut supaya semua institusi kewangan mendukung dasar perumahan negara.
Nilai jaminan pembiayaan SJKP sebanyak RM10 bilion pada tahun 2025, menjadikan jumlah keseluruhan nilai jaminan skim sejak diperkenalkan pada tahun 2008 hingga kini sebanyak RM40 bilion.
Setakat 30 September 2025, SJKP telah meluluskan jaminan pinjaman perumahan bernilai RM23.17 bilion, sekali gus berjaya membantu seramai 97,180 individu memiliki rumah idaman masing-masing.
Ringkasan AI
- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan 100,000 pembeli rumah menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menjelang akhir tahun ini
- Sebanyak RM16 bilion nilai jaminan SJKP masih terbuka untuk permohonan
- SJKP khusus untuk golongan B40 dan M40 termasuk pekerja gig ekonomi untuk membeli rumah idaman
- Skim itu memberi jaminan pembiayaan sehingga RM500,000 untuk pembelian rumah pertama
- SJKP menawarkan skim pembiayaan sehingga 120 peratus daripada harga rumah dan mekanisme "Step-Up Financing" mulai 2025
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

