Belanjawan 2026: 7,000 isi rumah miskin tegar akan dinoktahkan sebelum akhir tahun ini

Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Jumaat. Foto Bernama
Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan baki 7,000 isi rumah miskin tegar di seluruh negara akan dinoktahkan sebelum akhir tahun ini, susulan semakan semula kadar Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2024 kepada RM1,236.

Katanya, langkah itu bakal menamatkan kemiskinan tegar di Malaysia buat pertama kali dalam sejarah hasil pelaksanaan dasar inklusif di bawah gagasan Malaysia Madani.

“Penurunan kadar kemiskinan tegar daripada 0.2 peratus kepada 0.09 peratus atau sekitar 7,000 isi rumah seluruh negara adalah bukti nyata keberhasilan dasar Madani. Insya-ALLAH, baki ini akan diselesaikan sepenuhnya menjelang hujung tahun,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan itu bukan sekadar angka, tetapi mencerminkan hasil perjuangan kerajaan dalam memulihkan maruah rakyat miskin dan memastikan tiada golongan tertinggal dalam arus pembangunan negara.

Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan terhadap usaha perusahaan sosial yang membantu komuniti rentan menambah pendapatan dan memperkukuh keupayaan ekonomi di peringkat akar umbi.

Katanya, Beg Belanjawan 2026 yang dibawa pada hari pembentangan turut melambangkan semangat tersebut apabila dihasilkan oleh perusahaan sosial Heart Treasures dan Tanoti, menggunakan bahan kitar semula sarung tangan nitril serta fabrik terbuang.

“Beg ini hasil kerja tangan Saudara Anthony Liew You Chung, seorang anak muda orang kurang upaya (OKU) yang menjadi simbol kecekalan dan kreativiti rakyat Malaysia,” ujarnya.

Menurut Anwar, kerajaan akan terus memperkukuh peranan perusahaan sosial selaras dengan strategi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi membina sektor ketiga yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Bagi tujuan itu, kerajaan bercadang melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai pendapatan perusahaan sosial sehingga tahun 2028 sebagai galakan kepada lebih banyak pertubuhan melaksanakan inisiatif kemasyarakatan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, sebanyak RM120 juta disediakan sebagai geran padanan untuk yayasan di bawah GLIC dan GLC berganding bahu dengan kerajaan dalam menangani isu rakyat termasuk membantu golongan miskin bandar, mengatasi masalah gelandangan serta memperkasa bekas penghuni rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) agar mampu berdikari.

Anwar menegaskan, semua langkah itu membuktikan iltizam kerajaan untuk memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkukuh dan hasil pembangunan dapat dinikmati secara saksama oleh semua lapisan masyarakat.

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan baki 7,000 isi rumah miskin tegar akan dinoktahkan sebelum akhir tahun ini selepas mengkaji semula PGK Makanan 2024 ke RM1,236
  • Langkah ini bertujuan menamatkan kemiskinan tegar di Malaysia buat pertama kali dengan keberhasilan dasar Madani
  • Penurunan kemiskinan tegar di Malaysia daripada 0.2% kepada 0.09% atau kira-kira 7,000 isi rumah membuktikan kejayaan dasar Madani
  • Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada perusahaan sosial yang membantu komuniti rentan
  • Kerajaan bercadang melanjutkan tempoh permohonan pengecualian cukai pendapatan perusahaan sosial sehingga 2028 dan menyediakan RM120 juta sebagai geran untuk membantu golongan rentan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!