Kru motobot diselamatkan, 14 lagi masih hilang di perairan Selatan Filipina

MANILA - Pengawal Pantai Filipina (PCG) pada Selasa memaklumkan pihaknya menyelamatkan seorang mangsa lelaki yang terselamat daripada sebuah motobot membawa 15 orang yang dilaporkan hilang di perairan wilayah Davao Oriental di selatan Filipina, lapor Xinhua.
Dalam satu kenyataan, daerah tenggara Mindanao PCG berkata, mangsa yang terselamat, yang dikenal pasti sebagai seorang daripada kru motobot tersebut, ditemukan pada pagi Selasa.
Dia segera dibawa ke tempat selamat sementara operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi baki 14 lagi penumpang dan kru yang hilang.
Motobot "rekreasi" tersebut, yang membawa empat kru dan 11 penumpang, dilaporkan hilang pada Isnin, menyebabkan PCG mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat untuk meronda kawasan di mana motobot itu kali terakhir dilihat.
Menurut pengawal pantai di Manila, motobot itu bertolak dari Bandar Davao pada Sabtu untuk ekspedisi menyelam namun gagal tiba di destinasinya di perbandaran Governor Generoso pada Isnin. - Bernama/Xinhua
Ringkasan AI
- Pengawal Pantai Filipina menyelamatkan seorang lelaki, kru motobot hilang di Davao Oriental
- Mangsa yang terselamat ditemukan pada pagi Selasa dan dibawa ke tempat selamat
- Motobot yang hilang membawa 15 orang termasuk empat kru dan 11 penumpang
- Motobot bertolak dari Bandar Davao untuk ekspedisi menyelam dan sepatutnya tiba di Governor Generoso
- Operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari 14 lagi penumpang dan kru yang hilang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
