Selangor capai 96.9 peratus liputan 5G - Fahmi

SHAH ALAM - Selangor muncul sebagai negeri peneraju liputan rangkaian 5G negara apabila mencatatkan kadar liputan 96.9 peratus setakat 31 Disember tahun lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pencapaian itu sekali gus memperkukuh aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan berteraskan kesejahteraan, kemampanan dan kemajuan bersama.
Menurut beliau, perkembangan itu juga mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor dalam memastikan kemajuan teknologi dapat dinikmati secara adil oleh rakyat khususnya di negeri berpenduduk tertinggi di Malaysia dengan populasi sekitar 7.4 juta orang.
"Selangor menjadi antara penerima manfaat terbesar bagi pelaksanaan inisiatif pendigitalan dan kesalinghubungan ini selaras dengan pelaksanaan Pelan Tindakan Pintar Selangor 2025 yang meletakkan negeri itu sebagai peneraju bandar pintar dan ekonomi digital.
"Liputan 5G yang tinggi ini bukan sekadar angka, sebaliknya menjadi pemangkin kepada peningkatan kecekapan perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat serta daya tahan bandar melalui penggunaan teknologi pintar," katanya.
Beliau berdekatan demikian ketika sembah pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor di sini pada Selasa.
Beliau berkata, MoU itu memberi tumpuan kepada tiga bidang utama di bawah penyelarasan dan pemantauan Selangor Integrated and Intelligent Operations Centre (SIIOC) iaitu pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar, peningkatan keselamatan awam dan pengurusan trafik serta pelaksanaan pengurusan banjir pintar.
Katanya, pembangunan infrastruktur kesalinghubungan pintar merangkumi peluasan rangkaian gentian optik, penyediaan kemudahan Wi-Fi awam dan sokongan kepada Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi memastikan rakyat Selangor menikmati capaian Internet lebih luas, stabil dan berkualiti.
Dalam perkembangan sama, Fahmi memaklumkan peruntukan asal sebanyak RM380 juta bagi menyokong pelaksanaan inisiatif itu telah disemak dan ditingkatkan kepada RM450 juta susulan permohonan dikemukakan oleh kerajaan Selangor.
Beliau menegaskan, pendekatan kolaboratif antara persekutuan dan negeru termasuk peranan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pemudah cara strategik adalah kunci kepada kejayaan agenda pendigitalan serta pembangunan bandar pintar negara.
Ringkasan AI
- Selangor mencatatkan liputan rangkaian 5G sebanyak 96.9 peratus setakat 31 Disember tahun lalu
- Pencapaian itu memperkukuh aspirasi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan berteraskan kesejahteraan, kemampanan dan kemajuan bersama
- Komitmen kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor memastikan kemajuan teknologi dapat dinikmati secara adil
- Selangor dijadikan peneraju bandar pintar dan ekonomi digital melalui pelaksanaan Pelan Tindakan Pintar Selangor 2025
- Peruntukan asal sebanyak RM380 juta untuk pendigitalan dan pembangunan bandar pintar ditingkatkan kepada RM450 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


