MCMC siasat laporan media salah terjemah titah Agong - Fahmi

Fahmi
Fahmi
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang menjalankan siasatan berhubung kandungan dalam talian terbitan sebuah organisasi media yang didakwa mengandungi kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong semasa Istiadat Pembukaan Sidang Parlimen pada Isnin.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, siasatan itu dimulakan susulan aduan rasmi dikemukakan orang awam mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Menurutnya, peruntukan itu berkaitan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan komunikasi yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran awam atau menjejaskan keharmonian.

"Sekiranya terdapat laporan polis dibuat oleh mana-mana pihak, perkara berkenaan adalah berasingan dan diserahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, Fahmi menggesa Majlis Media Malaysia sebagai badan bebas memainkan peranan sebagaimana diperuntukkan, termasuk memastikan pematuhan etika kewartawanan, menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab dan tepat, serta menjadi platform pengawalseliaan kendiri dalam menangani aduan serta isu berkaitan media secara profesional dan berintegriti.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan komen melampau atau bersifat fitnah khususnya di media sosial, selain sentiasa menghormati institusi raja dan memberi ruang kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

Pada Isnin, organisasi media terbabit memuat naik kandungan di Facebook berkongsi titah Sultan Ibrahim dengan tajuk ‘Tidak tahu bahasa Melayu, jangan duduk Malaysia’ sebelum menukarnya kepada ‘Kalau ada yang tidak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia’.

Susulan itu, pendakwah bebas, Firdaus Wong Wai Hung dilaporkan membuat laporan polis terhadap syarikat terbabit berhubung penyiaran laporan berita dalam talian yang didakwa memesongkan Titah Diraja semasa Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • MCMC sedang menjalankan siasatan terhadap sebuah organisasi media mengenai kesilapan terjemahan titah Yang di-Pertuan Agong
  • Siasatan berdasarkan aduan rasmi dari orang awam mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Menekankan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian yang boleh menimbulkan kekeliruan dan mengganggu keharmonian
  • Fahmi Fadzil menggesa Majlis Media Malaysia memastikan pematuhan etika kewartawanan dan menggalakkan pelaporan yang bertanggungjawab
  • Pendakwah bebas membuat laporan polis terhadap pengubahan tajuk berita oleh organisasi media yang dianggap memesongkan Titah Diraja

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!