Nak cari duit lebih, simpanan RM76,423 melayang

Seorang pekerja kedai aksesori kenderaan kerugian lebih RM76,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pekerjaan tidak wujud. Gambar hiasan
Seorang pekerja kedai aksesori kenderaan kerugian lebih RM76,000 selepas terperdaya dengan sindiket penipuan pekerjaan tidak wujud. Gambar hiasan
A
A
A

TANGKAK - Hasrat seorang pekerja kedai aksesori kenderaan untuk menambah pendapatan berakhir dengan kekecewaan apabila wang simpanannya berjumlah RM76,423 lesap selepas diperdaya sindiket penipuan pekerjaan yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, mangsa lelaki warga tempatan berusia 26 tahun itu menerima tawaran pekerjaan sambilan menerusi aplikasi WhatsApp pada 16 Januari lalu.

Menurutnya, mangsa dijanjikan bayaran komisen tinggi selepas menyelesaikan tugasan yang diberikan oleh individu tidak dikenali.

“Mangsa diarahkan melakukan beberapa tugasan seperti menaikkan penarafan jualan barangan jenama terkemuka di laman web tertentu.

“Sepanjang tempoh itu, mangsa melakukan sebanyak 15 transaksi pembayaran melibatkan jumlah keseluruhan RM76,423 ke tujuh akaun bank berbeza,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Roslan berkata, bagaimanapun mangsa tidak menerima sebarang komisen seperti yang dijanjikan selepas menyelesaikan tugasan berkenaan.

“Mangsa kemudian menyedari dirinya diperdaya sebelum tampil membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam tempoh singkat.

Artikel Berkaitan:

“Orang ramai digalakkan membuat semakan terlebih dahulu serta mendapatkan maklumat terkini berkaitan penipuan atau scam menerusi saluran rasmi Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) di Facebook, Instagram dan TikTok.

“Sekiranya menjadi mangsa penipuan, segera hubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997 bagi tindakan awal menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek,” katanya.

Ringkasan AI

  • Pekerja kedai aksesori kenderaan kehilangan RM76,423 akibat penipuan pekerjaan
  • Mangsa, lelaki warga tempatan berusia 26 tahun, diperdaya menerusi WhatsApp
  • Dijanjikan komisen tinggi untuk menaikkan penarafan jualan barangan jenama terkemuka
  • Melakukan 15 transaksi pembayaran ke tujuh akaun berbeza tanpa menerima sebarang komisen
  • Ketua Polis Daerah Tangkak menasihatkan orang ramai berwaspada terhadap tawaran pekerjaan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!