Guru didakwa gunting tudung pelajar dipindahkan ke sekolah lain - Pengarah Pendidikan Negeri

KOTA KINABALU - Guru yang didakwa mengunting tudung pelajar di sebuah sekolah menengah di Lahad Datu, pada Jumaat lalu telahpun dipindahkan ke sekolah lain.
Pengarah Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Raisin Saidin berkata, tindakan tersebut diambil melalui Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Lahad Datu.
"Guru tersebut telah memohon maaf kepada ibu bapa murid berkenaan dan PPD Lahad Datu mengambil tindakan menukarkan guru berkenaan ke sekolah lain manakala murid kekal di sekolah tersebut.
"Guru tersebut juga telah menggantikan tudung murid yang digunting," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu tular seorang guru didakwa mengambil tindakan menggunting tudung pelajar yang dikatakan tidak labuh.
Sehubungan itu, Raisin menyeru agar guru sentiasa berhemah dalam tindakan dengan mempertimbangkan pelbagai faktor seperti kemampuan ibu bapa dalam menyediakan keperluan persekolahan anak-anak.
"Pada masa yang sama saya juga menasihatkan pelajar supaya sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan oleh pihak sekolah.
"Semua peraturan yang dilaksanakan berdasarkan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang bertujuan untuk memberi kebaikan kepada murid.
"Saya juga berharap perkara ini tidak berlaku di sekolah lain," tegasnya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan isu tular tersebut apabila ada sebahagian ibu bapa meluahkan rasa tidak puas hati berhubung tindakan guru tersebut.
Berdasarkan hantaran yang tular, kejadian tersebut dikatakan berlaku pada Jumaat iaitu hari kelima sesi persekolahan 2026 bermula.
Menurut dakwaan dalam hantaran berkenaan, beberapa pelajar perempuan telah digunting tudung mereka atas alasan tidak labuh.
Bagaimanapun, tindakan tersebut disifatkan sebagai memalukan dan memberi kesan emosi kepada pelajar yang terlibat.
Malah ibu bapa turut meluahkan rasa kecewa dalam hantaran itu yang mendakwa tindakan berkenaan bukan sahaja tidak wajar, malah dianggap merosakkan harta benda serta menyinggung perasaan pelajar.
Ringkasan AI
- Guru yang menggunting tudung pelajar di Lahad Datu dipindahkan ke sekolah lain
- Guru memohon maaf dan menggantikan tudung yang digunting
- Pengarah Pendidikan Negeri Sabah menyeru guru berhemah dalam tindakan
- Peraturan sekolah berlandaskan garis panduan Kementerian Pendidikan Malaysia
- Ibu bapa pelajar meluahkan rasa tidak puas hati atas tindakan guru tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
