Kerajaan, Razak Baginda dan dua bekas UTK bayar RM1.4 juta kepada keluarga Altantuya

PUTRAJAYA – Kerajaan Malaysia, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda serta dua bekas anggota Unit Tindakan Khas hanya perlu membayar RM1.4 juta kepada keluarga bekas model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu berbanding RM5 juta yang diperintahkan Mahkamah Tingggi Shah Alam, tahun lalu.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Besar Malaya, Datuk Hashim Hamzah memutuskan demikian selepas mengetepikan keputusan yang memerintahkan empat pihak itu membayar ganti rugi, atas kematian penterjemah yang juga model sambilan tersebut, pada 2006.
Ketika membaca keputusan sebulat suara, Hakim, K Muniandy berkata, panel juga mengurangkan jumlah ganti rugi berkenaan kerana Mahkamah Tinggi telah tersilap dari segi undang-undang apabila memberikan ganti rugi asal berjumlah RM5 juta.
Pada 16 Disember 2022, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Vazeer Alam Mydin Meera (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan saman yang difailkan keluarga itu berhubung kematian Altantuya pada 2006 lalu, terhadap empat defendan termasuk kerajaan Malaysia.
Bapa mendiang, Dr Shaariibuu Setev; ibunya, Altantsetseg Sanjaa serta dua anak lelaki Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal dan Altanshagai Munkhtulga, memfailkan tuntutan saman pada 4 Jun 2007 yang mendakwa kematian wanita itu menyebabkan mereka mengalami trauma mental dan psikologi, melayakkan mereka dibayar pampasan serta mendapat ganti rugi teladan dan teruk.
Mereka menamakan dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar; penganalisis politik, Abdul Razak Baginda dan kerajaan masing-masing defendan pertama hingga keempat.
Bagaimanapun nama Altanshagai Munkhtulga dikeluarkan daripada senarai plaintif apabila dia meninggal dunia pada 2017.
Altantuya yang dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam oleh sebuah syarikat pembekal senjata dari Perancis, DNS, kepada kerajaan Malaysia, dibunuh oleh dua pengawal peribadi Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, pada 18 Oktober 2006.
Berikutan itu, dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), iaitu Koperal Sirul Azhar dan Cif Inspektor Azilah ditangkap sebelum didakwa di Mahkamah Tinggi di sini kerana membunuh Altantuya pada November 2006.
AKAN MENYUSUL
Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia dan tiga lagi perlu membayar RM1.4 juta kepada keluarga Altantuya Shaariibuu, berkurangan daripada RM5 juta yang asal
- Keputusan pembayaran ganti rugi ini ditetapkan oleh Mahkamah Rayuan yang mengurangkan jumlah asal RM5 juta
- Kes ini melibatkan kematian Altantuya Shaariibuu pada tahun 2006 yang dikatakan membawa trauma mental dan psikologi kepada keluarganya
- Altantuya dilaporkan berperanan sebagai penterjemah dalam proses rundingan penjualan kapal selam dan dibunuh oleh dua pengawal peribadi
- Dua bekas anggota Unit Tindakan Khas, Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, didakwa membunuh Altantuya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

