Pasangan kekasih dikenal pasti mangsa rentung dalam kereta terbakar di plaza tol


JITRA - [DIKEMAS KINI] Identiti dua individu yang rentung di dalam kereta terbakar akibat kemalangan di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara dekat sini awal pagi tadi dikenal pasti sebagai pasangan kekasih yang beralamat dari Perlis dan Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata, mangsa dikenali sebagai Pang Seng Ching, 20, yang memandu kereta dan seorang lagi disyaki teman wanitanya, Tan Hui Shan, 19.
Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 1.15 pagi Isnin, kereta Honda Civic warna hitam milik Seng Ching terbabit kemalangan jalan raya di Plaza Tol Jitra arah Utara.
"Kedua-dua disahkan maut di tempat kejadian. Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kenderaan itu secara tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar pembahagi lorong tol sebelum terbalik dan terbakar," katanya.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah untuk tujuan bedah siasat.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, dua individu ditemukan rentung dalam sebuah kereta yang terbakar di Plaza Tol Jitra, Lebuhraya Utara Selatan, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Penolong Kanan Penguasa Bomba Noor Azhar Tajudin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.05 pagi berhubung kejadian terbabit.
Ringkasan AI
- Identiti dua individu yang rentung di dalam kereta terbakar di Plaza Tol Jitra dikenal pasti sebagai Pang Seng Chin dan Tan Hui Shan
- Seng Chin adalah seorang peniaga manakala Hui Shan tidak bekerja
- Seng Chin meninggal dunia akibat kecederaan pada bahagian dada, Hui Shan maut akibat penyedutan asap kebakaran
- Kedua-dua mangsa didapati maut di tempat kejadian
- Kenderaan Honda Civic dinaiki mangsa hilang kawalan, melanggar pembahagi lorong tol, terbalik dan terbakar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

