Siasatan kes pegawai kanan ATM diklasifikasikan berprofil tinggi, disegerakan – Azam Baki

Azam menunjukkan antara barang yang dirampas berkaitan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan TDM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada Khamis.
Azam menunjukkan antara barang yang dirampas berkaitan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan TDM di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Siasatan melibatkan beberapa pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (Angkatan Tentera Malaysia) yang sedang dijalankan ketika ini diklasifikasikan  kes berprofil tinggi serta diberi keutamaan untuk disiapkan dengan segera.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya mengambil tanggungjawab penuh bagi memastikan siasatan berkenaan diselesaikan secepat mungkin.

"Hal ini memandangkan sensitiviti kes tersebut serta kepentingan maklumat kepada orang awam.

"Saya dengan rendah hati menyatakan bahawa menjadi tanggungjawab kami untuk menyelesaikan siasatan ini secepat mungkin," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Khamis.

Katanya, sepanjang proses siasatan dijalankan, beliau tidak menerima sebarang arahan atau direktif daripada mana-mana pihak, sama ada pihak berkepentingan mahupun orang awam.

"Setiap kes mempunyai keunikan tersendiri dan tidak boleh disamakan antara satu sama lain, justeru pendekatan siasatan turut berbeza mengikut keperluan kes.

"Dalam kes ini, tanggungjawab itu terletak kepada saya dan saya sendiri telah mengklasifikasikannya sebagai kes berprofil tinggi yang memerlukan tindakan segera kerana rakyat perlu mengetahui status sebenar kes ini,” katanya.

Azam berkata, kekerapan pertanyaan daripada rakan media mengenai perkembangan siasatan membuktikan kes tersebut mendapat perhatian meluas dan perlu ditangani dengan segera.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan tiada garis masa khusus dapat ditetapkan bagi melengkapkan siasatan itu, sama ada dalam tempoh dua atau tiga bulan.

Artikel Berkaitan:

"Saya mengambil tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya untuk mengambil alih dan memahami sepenuhnya kes ini bagi mempercepatkan siasatan,” katanya.

Mengulas kerjasama pihak terlibat, beliau mengesahkan semua pihak telah memberikan kerjasama yang baik, termasuk Kementerian Pertahanan serta orang awam.

"Saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama dalam membantu siasatan ini,” katanya.

Dalam pada itu, Azam turut memaklumkan SPRM menerima pelbagai input daripada pemberi maklumat, termasuk daripada pihak luar, yang menyalurkan maklumat berkaitan kes berkenaan.

"Ada maklumat yang tepat dan ada juga yang tidak, namun sebahagiannya tetap membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan,” katanya.

Beliau menegaskan SPRM akan terus menjalankan siasatan secara profesional dan telus selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

 

Ringkasan AI

  • Siasatan melibatkan pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia diklasifikasikan kes berprofil tinggi dan diberi keutamaan
  • Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, mengambil tanggungjawab penuh untuk menyelesaikan siasatan secepat mungkin mengikut sensitiviti dan kepentingan kepada orang awam
  • Tidak ada arahan atau direktif dari pihak mana pun diterima sepanjang proses siasatan
  • Kekerapan pertanyaan dari media menunjukkan kes tersebut mendapat perhatian meluas dan perlu ditangani dengan segera
  • SPRM menerima pelbagai input dari pemberi maklumat termasuk dari pihak luar yang membantu dalam siasatan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!