Peniaga guna kaedah penghantaran sate mentah terus ke rumah

Facebook Safuan Hadi yang membuat jualan sate terus hantar ke rumah.
Facebook Safuan Hadi yang membuat jualan sate terus hantar ke rumah.
A
A
A

BUTTERWORTH - Akur dengan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan kerajaan untuk memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19), seorang peniaga sate tetap optimis biarpun ia turut memberi tempias kepada sumber pendapatannya.

Menyedari hakikat kehidupan perlu diteruskan, peniaga sate, Safuan Hadi Mohammad, 42, mula mencari ilham untuk menambah pendapatan semasa tempoh pelaksanaan PKP itu dengan mencuba kaedah lain iaitu menjual sate mentah berserta kuah kepada pelanggan dengan menghantar terus ke rumah mereka.

"Idea ini timbul selepas enam hari tidak berniaga (dalam tempoh PKP) dan pada masa itu secara automatik saya terfikir hendak buat penghantaran sate mentah berserta dengan kuahnya.

"Niat untuk mencari sedikit pendapatan bagi menyara keluarga, selain itu adik-adik saya juga bekerja dengan saya, jadi secara tak langsung dapatlah kami berkongsi rezeki bersama," katanya kepada Bernama.

Bapa kepada lima cahaya mata yang merupakan generasi ketiga mengusahakan perniagaan itu menggunakan resipi turun-temurun dengan mengekalkan rasa yang sama.

Berkongsi cetusan idea itu, Safuan Hadi berkata, tujuan beliau membuat penghantaran sate mentah dari rumah ke rumah adalah untuk memastikan orang ramai kekal duduk di rumah selaras dengan arahan PKP, selain mereka dapat meluangkan masa membakar sate bersama keluarga, sekali gus mengeratkan hubungan kekeluargaan.

"Pendapatan kalau ditanya semasa tempoh PKP, memang sangat terjejas, namun alhamdulillah selepas saya cuba membuat kaedah penghantaran ini, keadaan kembali stabil," katanya.

Safuan Hadi berkata, sejak mula memperkenalkan penghantaran sate mentah secara terus ke rumah, reaksi yang diterima daripada orang ramai sangat positif dan rata-rata berpuas hati walaupun baru kali pertama membelinya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau akan menghasilkan sebanyak 600 hingga 1,000 cucuk sate ayam setiap hari yang dijual pada harga 50 sen secucuk dan penghantaran akan dibuat tiga atau empat hari dalam seminggu.

Biarpun tempoh PKP adalah saat ujian getir terhadapnya yang merupakan tonggak utama keluarga, beliau turut memanjatkan rasa syukur dengan pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin Jumaat lepas.

"Syukur alhamdulillah, sedikit sebanyak dapat membantu kami daripada golongan sederhana ini, peruntukan ini sangat perlu kerana kita tidak tahu berapa lama PKP akan dilaksanakan.

"Berdasarkan daripada carta Kementerian Kesihatan (KKM), peningkatan wabak Covid-19 ini berlaku setiap hari.

"Jika ia (peningkatan kes) berterusan, maka lama lagilah PKP akan dijalankan. Harapan saya dan seluruh umat manusia atas muka bumi ini agar wabak Covid-19 berakhir dengan cepat," katanya. - Bernama