Kemalangan tidak lemahkan GGR Motor buru mahkota drag EV Asia

Pasukan GGR Motor di Buriram.
Pasukan GGR Motor di Buriram.
A
A
A

INSIDEN kemalangan yang menimpa jentera GGR Motor di Buriram, Thailand tidak memadamkan semangat pasukan itu sebaliknya mengukuhkan tekad mereka untuk bangkit dan memburu kedudukan teratas dalam arena drag motosikal elektrik (EV) di peringkat Asia.

Penyertaan GGR Motor dalam kejohanan antarabangsa NGO Asean Super Fast 2025 di Buriram United Dragster Track dari 9 hingga 11 Januari lalu menjadi medan ujian sebenar keupayaan pasukan itu apabila berdepan cabaran teknikal dan persekitaran yang jauh berbeza berbanding litar lain yang pernah disertai sebelum ini.

Rider GGR Motor, Muhammad Fathi Mohamed Azmi atau lebih dikenali sebagai Toie berkata, pasukan memulakan saingan dalam kategori motosikal elektrik (EV) body standard dan berjaya meraih tempat ketiga serta keempat tanpa sebarang insiden sepanjang perlumbaan.

Menurutnya, persaingan menjadi lebih sengit pada hari berikutnya apabila pasukan menyertai kategori body open, yang menyaksikan penyertaan lebih banyak jentera serta tahap saingan yang lebih tinggi.

Dalam kategori tersebut, GGR Motor merekodkan catatan masa 8.9 saat yang membolehkan pasukan meraih tempat ketiga manakala sebuah lagi jentera turut menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

Bagaimanapun, peluang untuk mencatat masa lebih baik tidak dapat direalisasikan selepas beliau terlibat dalam insiden kemalangan ketika cubaan terakhir perlumbaan.

Menurut Toie, berdasarkan potensi jentera, pasukan yakin catatan masa yang lebih pantas masih mampu dicapai, namun insiden berkenaan menyebabkan mereka terpaksa berpuas hati dengan keputusan sedia ada.

Beliau menjelaskan, kemalangan itu berpunca daripada masalah gelinciran jentera apabila kawalan pendikit terpaksa dihadkan sekitar 50 hingga 60 peratus sebelum ditingkatkan sepenuhnya berhampiran garisan penamat, sekali gus mengakibatkan kehilangan kawalan.

Katanya, faktor trek di Buriram yang disediakan untuk jentera berkuasa tinggi turut memberi kesan besar terhadap prestasi, khususnya apabila sebahagian jentera yang bertanding berada dalam kategori kuasa lebih kecil.

Artikel Berkaitan:

“Banyak faktor perlu diambil kira seperti suspensi, berat pelumba, aerodinamik, suhu cuaca dan tahap cengkaman permukaan trek.

“Sebelum ini ketika ujian di Avenue Track, saya pernah mencatat masa sekitar 8.5 hingga 8.6 saat dengan kelajuan 280 kilometer sejam, namun catatan itu sukar dicapai di Buriram kerana keadaan trek dan faktor teknikal yang berbeza,” katanya.

Penyertaan di Buriram turut menghimpunkan beberapa pasukan dan bengkel perlumbaan tempatan yang tampil di bawah satu gabungan termasuk GGR Motor selain ESR, Pro Garage, BOT Racing, ZTP Motorworks dan Jeffry Motor Suzuka.

Beliau mengakui Buriram merupakan antara trek paling mencabar yang pernah disertainya, namun tetap berpuas hati apabila pasukan berjaya menembusi kelompok catatan lapan saat walaupun berdepan kekangan jentera dan keadaan trek yang tidak ideal.

Dalam pada itu, Toie berkata GGR Motor kini berada dalam fasa peralihan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan pelumba baharu termasuk melatih dua rider sebagai persediaan jangka panjang pasukan.

Beliau memaklumkan perlumbaan seterusnya dijadual berlangsung pada 25 Januari ini di Avenue Track, Bangkok dengan fokus utama kepada peranan sebagai ketua teknikal pasukan bagi memperkukuh persiapan jentera.

Ringkasan AI

  • INSIDEN kemalangan di Buriram tidak padamkan semangat pasukan GGR Motor tetapi mengukuhkan tekad untuk berjaya dalam drag motosikal elektrik di Asia
  • GGR Motor berjaya menempatkan diri di posisi ketiga dan keempat dalam kategori motosikal elektrik body standard
  • Saingan menjadi lebih sengit dalam kategori body open dengan pasukan mencatatkan masa terbaik 8.9 saat dan menduduki tempat ketiga dan keempat
  • Kemalangan disebabkan oleh masalah gelinciran jentera akibat kawalan pendikit yang terhad
  • Pasukan GGR Motor dalam fasa peralihan dengan fokus kepada pembangunan pelumba baharu dan persiapan untuk perlumbaan seterusnya di Bangkok

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!