Piala Malaysia: Permulaan positif JDT – Munoz

PENGENDALI Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz, menyifatkan kemenangan besar 10-1 ke atas PDRM FC pada aksi pertama pusingan 16 Piala Malaysia di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, pada Ahad, sebagai permulaan yang positif.
Malah, menurut Munoz, kemenangan itu juga membuktikan skuad Harimau Selatan berjaya mengekalkan aksi berintensiti tinggi sepanjang tempoh 90 minit permainan.
“Kami bermula dengan sangat baik dalam satu lagi pertandingan baharu dan ia merupakan satu perkara positif.
“Kami kembali dengan idea untuk menekan sejak minit-minit awal dan bermain dengan intensiti tinggi.
“Paling penting, pemain tidak berhenti. Mereka terus bermain dari minit pertama hingga minit terakhir dan inilah mentaliti serta karakter yang perlu kami kekalkan,” katanya pada sidang akhbar sejurus tamat perlawanan.
Pada aksi berkenaan, pemain import, Teto Martin, muncul wira skuad Harimau Selatan apabila meledak enam gol (hatrik berganda) bagi membantu kemenangan pasukan.
Mengulas prestasi Teto yang menjaringkan enam gol dalam perlawanan tersebut, Munoz menyifatkannya sebagai satu pencapaian yang luar biasa.
“Teto ialah seorang penyerang dan dia menjaringkan enam gol. Saya rasa ini kali pertama berlaku dalam sejarah kelab.
“Ia juga sesuatu yang positif apabila semua pemain dalam pasukan berjaya. Saya gembira untuknya.
“Selain itu, saya turut memuji persembahan pemain baharu, Nene (Rui Filipe Da Cunha Correia), yang turut menjaringkan gol malam ini (Ahad),” katanya.
Ringkasan AI
- PENGENDALI Johor Darul Ta'zim, Xisco Munoz, menyifatkan kemenangan besar 10-1 ke atas PDRM FC sebagai permulaan yang positif
- Kemenangan membuktikan kemampuan skuad Harimau Selatan mengekalkan aksi berintensiti tinggi sepanjang 90 minit
- Pemain tidak berhenti dan terus bermain dengan intensiti dari minit pertama hingga terakhir merupakan mentaliti dan karakter yang penting
- Pemain import, Teto Martin, muncul sebagai wira dengan menjaringkan enam gol dalam satu perlawanan
- Prestasi Teto dan pemain baharu, Nene, yang turut menjaringkan gol, dikreditkan oleh Munoz sebagai pencapaian yang luar biasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
