Kenderaan elektrik terus dapat permintaan tinggi

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memperkenalkan Prototype motosikal elektrik terbaharu, dinamakan Pantera R1 dan R2 keluaran GGR Motor Sdn Bhd sempena Majlis Peluncuran MARA Automotive Ecosystem (Matec 2025) di pekarangan Stadium Bukit Jalil pada Ahad. Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan).. Foto Bernama
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang memperkenalkan Prototype motosikal elektrik terbaharu, dinamakan Pantera R1 dan R2 keluaran GGR Motor Sdn Bhd sempena Majlis Peluncuran MARA Automotive Ecosystem (Matec 2025) di pekarangan Stadium Bukit Jalil pada Ahad. Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki (kanan).. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jualan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia pada 2024 mencecah hampir 15,000 unit dan dijangka terus meningkat dengan jenama nasional seperti Proton dan Perodua kekal menguasai lebih 62 peratus pasaran.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, perkembangan itu membuktikan kemajuan teknologi dalam industri automotif negara yang semakin pesat dan berdaya saing.

Menurutnya, Malaysia sebagai pemain industri automotif ketiga terbesar di Asia turut menjadi destinasi pelaburan asing apabila syarikat gergasi seperti BYD akan membina kilang EV di Tanjung Malim, Perak.

“Pelaburan ini dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan dalam industri berimpak tinggi selain memberi limpahan manfaat kepada vendor serta usahawan tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Mara Automotive Ecosystem (Matec) 2025 di pekarangan Stadium Bukit Jalil pada Ahad.

Turut hadir Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua Pengarah Mara, Datuk Zulfikri Osman

Rubiah turut menyifatkan penyertaan GGR Motor Sdn Bhd dalam Matec 2025 sebagai bukti kejayaan usahawan Bumiputera dalam industri automotif berteknologi tinggi apabila motosikal elektrik (EV) yang diperkenalkan syarikat itu mencatat lebih 10,000 tempahan sejurus pelancaran.

Beliau berkata, pencapaian itu menunjukkan kemampuan usahawan tempatan di bawah bimbingan Mara untuk bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa, seiring dengan sasaran kementerian memperkukuh penyertaan, pemilikan dan penguasaan Bumiputera dalam sektor strategik.

“Mara akan terus memberi sokongan penuh kepada GGR Motor Sdn Bhd bagi memastikan syarikat itu mampu memenuhi permintaan tempatan dan menembusi pasaran luar negara dengan harga motosikal elektrik yang kompetitif.

Artikel Berkaitan:

“Ini adalah cabaran baharu untuk usahawan kita supaya bukan sekadar ‘jaguh kampung’, tetapi mampu menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya

Rubiah dalam pada itu berkata, Mara turut menyokong pembangunan usahawan automotif Bumiputera melalui pelbagai bentuk kolaborasi bersama pemain industri utama.

Menurutnya, kejayaan melahirkan lebih ramai usahawan kompeten dalam bidang automotif tidak dapat dicapai secara bersendirian, sebaliknya memerlukan kerjasama strategik dengan pihak industri bagi mempercepat pertumbuhan dan memastikan kesinambungan pembangunan keusahawanan.

“Kolaborasi ini bukan sahaja meningkatkan kualiti dan kapasiti usahawan, malah membuka ruang pembelajaran serta perkongsian teknologi yang lebih luas,” katanya.

Rubiah berkata, antara contoh kejayaan kolaborasi itu ialah Program Automotif MARA-Petronas (PUMP) yang kini mempunyai 56 outlet AutoExpert di seluruh negara, dengan nilai jualan mencecah RM112 juta serta mewujudkan 480 peluang pekerjaan.

Beliau turut mencadangkan supaya kerjasama strategik itu diperluas kepada syarikat lain seperti Mannol Malaysia bagi membantu usahawan baharu dan lepasan TVET memperoleh sokongan dalam pembangunan perniagaan serta pengurusan yang lebih bersistematik.

Rubiah menegaskan, inisiatif sedemikian membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh rantaian nilai automotif dan membina ekosistem keusahawanan Bumiputera yang mampan serta berdaya saing di peringkat global.

 

Ringkasan AI

  • Jualan kenderaan elektrik di Malaysia dijangka mencapai hampir 15,000 unit pada 2024 dengan Proton dan Perodua menguasai lebih 62 peratus pasaran
  • Perkembangan EV membuktikan kemajuan teknologi industri automotif Malaysia yang berdaya saing
  • Malaysia menjadi destinasi pelaburan asing seperti pembinaan kilang EV BYD di Tanjung Malim, yang membuka peluang pekerjaan dalam industri berimpak tinggi
  • GGR Motor Sdn Bhd menunjukkan kejayaan usahawan Bumiputera dengan lebih 10,000 tempahan motosikal elektrik sejurus pelancaran
  • Mara menyokong pembangunan usahawan Bumiputera dalam automotif melalui kolaborasi dengan pemain industri utama, contohnya Program Automotif MARA-Petronas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!