ASNB umum dividen 4.75 sen untuk ASB2

Amanah Saham Nasional Berhad. -Foto Sumber Internet
Amanah Saham Nasional Berhad. -Foto Sumber Internet
A
A
A

AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), mengisytiharkan pengagihan pendapatan ASB 2 sebanyak 4.75 sen seunit kepada 439,543 pemegang unit dan 4.25 sen seunit kepada 553,188 pemegang unit Amanah Saham Malaysia (ASM).

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan, ASNB yang merupakan syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), jumlah pembayaran pendapatan mencecah hampir RM1.4 bilion bagi kedua-dua dana tersebut.

"Setakat 29 Februari 2020, ASB 2 mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM413.30 juta, manakala ASM mencatatkan pendapatan bersih direalisasi berjumlah RM646.70 juta," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, ASNB turut mengisytiharkan pengagihan pendapatan sebanyak 3.25 sen seunit kepada 89,327 pemegang unit ASN Equity 3, 3.50 sen seunit kepada 86,426 pemegang unit ASN Imbang 2 dan 4.55 sen seunit kepada 69,872 pemegang unit ASN Sara 1.

Jumlah pembayaran pengagihan pendapatan bagi ketiga-tiga dana tersebut berjumlah RM228.7 juta.

Jelas PNB, pengagihan pendapatan yang diisytihar oleh dana-dana tersebut diperoleh daripada keuntungan direalisasi, dividen dan pendapatan lain.

"Selari dengan penanda aras yang telah ditetapkan, PNB sentiasa mengekalkan strategi peruntukan aset berhemah dan pegangan saham yang besar di pasaran awam memastikan PNB mempunyai tahap kecairan pelaburan yang diperlukan untuk memberi pulangan yang mampan kepada pemegang unit," katanya.

Tambahnya, di sebalik cabaran yang dihadapi sepanjang tahun 2019, portfolio dana PNB telah kekal kukuh secara relatif, berbanding penanda aras masing-masing, yang mana sebahagian besarnya disumbang oleh pegangan saham berkualiti tinggi dengan asas yang kukuh, serta langkah yang telah diambil bagi mempelbagaikan lagi portfolio.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, urus niaga bagi lima dana tersebut telah ditangguhkan buat sementara waktu dari 25 sehingga 31 Mac 2020 untuk tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pejabat cawangan ASNB tidak beroperasi buat masa ini bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun pemegang unit masih boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka melalui portal ASNB di www.myasnb.com.my atau melalui aplikasi mudah alih myASNB.

Pemegang unit juga boleh berkunjung ke cawangan ejen ASNB apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 April 2020 dan pemegang unit dinasihatkan untuk menyemak waktu operasi bank-bank ejen sepanjang tempoh PKP.